POLITIK
UMNO perlu tangani segera isu, elak beri kesan kepada parti - Ahmad Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Pejabat UMNO Bahagian Arau di Simpang Empat hari ini. - Foto BERNAMA
ARAU: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepimpinan serta ahli parti itu untuk bertindak cepat dalam menangani dan menjawab pelbagai isu yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu terhadap parti berkenaan.
Ringkasan AI
- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyeru kepimpinan dan ahli parti agar segera menangani isu yang dibangkitkan terhadap UMNO supaya tidak menjadi tular dan menjejaskan parti.
- Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengakui UMNO kurang cekap menangani isu berbanding parti lain yang lebih bijak memainkan sentimen sehingga memperoleh lebih banyak kerusi pilihan raya.
- Ahmad Zahid turut menggesa semua pihak dalam UMNO untuk mempertahankan perpaduan dan kekuatan dalaman parti walaupun terdapat perbezaan pandangan.
Ahmad Zahid berkata UMNO harus menerima hakikat bahawa parti itu tidak pintar dalam menangani isu menyebabkan parti lain berjaya memperoleh lebih banyak kerusi dalam pilihan raya kerana pandai memainkan isu.
"Ada parti yang menanamkan ketaksuban ataupun 'cult' di dalam hati pengikut-pengikutnya, jumlah keahlian parti berkenaan sedikit berbanding dengan jumlah keahlian parti kita, tetapi mereka mendapat kerusi lebih banyak daripada kita.
"Malah, ada parti yang tiada jentera tetapi mendapat kerusi lebih banyak daripada kita sebab mereka boleh memainkan isu," katanya.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menggesa kepimpinan UMNO untuk menangani sebarang isu yang timbul sama ada di peringkat nasional, negeri, bahagian dan Dewan Undangan Negeri.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menyeru kepimpinan dan ahli UMNO supaya mempertahankan hubungan dan kekuatan dalaman parti walaupun ada perbezaan pendapat dan pandangan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami