Skip to main content

Malaysia

Mahkamah Tinggi tetapkan keputusan rayuan ibu Zayn Rayyan 28 September

Rayuan Ismanira
Mahkamah menetapkan 28 September bagi keputusan rayuan dikemukakan Ismanira untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya atas kesalahan mengabaikan anaknya. -Foto Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 September depan bagi keputusan rayuan dikemukakan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya atas kesalahan mengabaikan anaknya.

Hakim Noor Hisham Ismail menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak, termasuk rayuan balas pihak pendakwaan berhubung hukuman penjara yang dikenakan terhadap Ismanira, 31.

Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Tiara Katirina Fuad, Lavanesh Mahadevan dan Haijan Omar dalam prosiding, hari ini.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Aqharie Durranie Aziz.

Menurut dokumen rayuan yang diperoleh sebelum ini, pihak pembelaan berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen hanya membuat kesimpulan bahawa kehilangan dan kecederaan yang dialami Allahyarham Zayn Rayyan berpunca daripada tindakan Ismanira yang didakwa membiarkan kanak-kanak itu berjalan di belakangnya.

Pihak pembelaan turut menegaskan bahawa tiada saksi melihat Ismanira mengabaikan anaknya dan kes pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan keadaan.

“Tiada saksi yang melihat perayu mengabaikan si mati, manakala kes pihak pendakwaan adalah berdasarkan keterangan keadaan.

"Pertuduhan yang digubal itu hanyalah dakwaan bahawa perayu melakukan perbuatan cuai,” menurut hujahan pembelaan.

Mereka juga berhujah bahawa tiada keterangan saksi yang menggambarkan Ismanira sebagai seorang yang ganas atau ibu yang tidak menyayangi anaknya, selain mendakwa insiden kecuaian itu berlaku dalam tempoh hanya beberapa saat.

Sementara itu, pihak pendakwaan berhujah bahawa sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen adalah wajar dan mencukupi berdasarkan fakta kes.

Bagaimanapun, pendakwaan berpendapat hukuman tersebut masih tidak memadai dan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang lebih bersifat pencegahan (deterrent).

Pada Januari lalu, Ismanira memfailkan petisyen rayuan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syaliza Warnoh, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh sabitan.

Selain itu, Ismanira dikehendaki menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warga tempatan serta cagaran RM3,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara, manakala permohonan penangguhan hukuman ditolak.

Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun tersebut.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin ketika itu membuat keputusan berkenaan selepas meneliti afidavit dan hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berusia enam tahun ketika kejadian, didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran apartmen berkenaan antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Must Watch Video

Advertisement