BIRMINGHAM: Aston Villa melengkapkan perpindahan penjaga gol Jepun, Zion Suzuki, daripada Parma dalam usaha memperkukuh skuad menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Suzuki, 23, menyertai kelab itu dengan nilai perpindahan dilaporkan sekitar £29.9 juta (kira-kira RM177.5 juta).
Kehadiran pemain antarabangsa Jepun itu pada awalnya dilihat sebagai persediaan Aston Villa sekiranya penjaga gol utama, Emiliano Martinez, meninggalkan kelab tersebut.
Bagaimanapun, rundingan melibatkan Martinez dan Juventus dilaporkan belum mencapai kata sepakat.
Pengurusan Villa dilaporkan melihat Suzuki sebagai pelaburan jangka panjang yang berpotensi menjadi penjaga gol utama kelab pada masa depan.
Suzuki turut mencuri perhatian pada Piala Dunia FIFA 2026 apabila beraksi dalam kesemua empat perlawanan Jepun di kejohanan itu.
Beliau memulakan karier profesional bersama Urawa Red Diamonds sebelum berhijrah ke Belgium menyertai Sint-Truiden dan kemudian menyertai Parma pada 2024.
Sepanjang dua musim di Itali, Suzuki membuat 57 penampilan Serie A bersama Parma.
Dilahirkan di Newark, New Jersey di Amerika Syarikat, Suzuki merupakan anak kepada bapa berasal dari Ghana dan ibu warga Jepun sebelum membesar di Jepun.
Beliau kini berpeluang membuat penampilan pertama bersama Aston Villa ketika kelab itu memulakan kempen EPL menentang Brighton hujung minggu ini.