UMNO Selangor perlu akui kelemahan yang dihadapi selain segera mencari ruang memperbaikinya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mesej itu harus diserap kepimpinan sehingga akar umbi parti sendiri.

"Kita kena akui kelemahan rumah tangga UMNO Selangor. Cari puncanya dan selesaikan segera.

"Beri ruang kepada pemimpin membetulkannya. Masanya sudah tiba untuk menawan semula Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya semasa sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen UMNO Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Konvensyen sehari itu diadakan untuk mencari formula menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum‎ (PRU) ke-14.

Seramai 1,500 peserta terdiri daripada kepimpinan UMNO peringkat bahagian, anggota kelab Veteran UMNO dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Selangor (Mubarak) menghadiri konvensyen kali ini.

Tambah Hishammuddin yang juga bapa angkat kepada Badan Perhubungan UMNO Selangor, agenda dan isi konvensyen kali ini juga diharap dapat dibahaskan dengan lebih meluas semasa‎ Perhimpunan Agung UMNO akhir bulan ini.

"Kita perkukuhkan tiang-tiang seri parti. Setiap agenda dan misi parti harus diperjelaskan k‎epada perwakilan dan inilah mesej kita.

"Kita lihat ruang-ruang yang ada untuk membetulkan apa yang silap sebelum ini, perancangan dan transformasi setiap bahagian perlu untuk memastikan ia direalisasikan," jelasnya.

Barisan Nasional kini memegang 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Daripada jumlah itu, UMNO menguasai 18 kerusi selain MCA memegang baki kerusi di negeri itu.

Dalam ‎perkembangan berasingan, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, Akta Hasutan masih diterima pakai sehingga ada akta baru menggantikannya kelak.

‎"Kita akui sedang mencari mekanisme untuk penambahbaikan Akta Hasutan ini.

"Bagaimanapun selagi tidak ada, kita kekalkan dahulu akta sedia ada," jelasnya.