KUALA LUMPUR: UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun masih menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) yang juga ahli UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong pada Khamis, amat jelas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah murka dengan apa berlaku sekarang.

“Parti kita UMNO dan saya sebagai seorang anggota parti setia pada parti, maka parti buat keputusan di mana parti tarik sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tetapi parti masih menyokong kerajaan masih Kerajan Perikatan Nasional.

“Berdasarkan titah Agong, amat jelas bahawa Kebawah Duli Tuanku murka dengan perkembangan yang berlaku dalam kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan Istana Negara.

“Perkara pokok yang disebutkan itu ada tindakan yang dilakukan, yang tidak mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media  di bangunan Parlimen pada Khamis.

Tambah beliau, sebagai Ahli Parlimen, setiap daripada mereka telah mengangkat sumpah untuk pelihara dan melindungi Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau ada sesuatu tindakan yang boleh disifat tidak ikuti Perlembagaan Persekutuan, maka sebagai seorang yang angkat sumpah, maka menjadi tanggungjawab saya untuk pertahankan Perlembagaan Persekutuan negara sesuai dengan sumpah.

“Saya suka juga nyatakan Fasal 3 dalam Perlembagaan UMNO, UMNO sentiasa pertahankan sistem Raja Berperlembagaan. Itu adalah asas perjuangan kita,” ujarnya.

BACA: Agong zahir dukacita, pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan Baginda

BACA: UMNO minta Muhyiddin, Takiyuddin undur - Ahmad Zahid

BACA: Apabila Darurat tidak akan disambung, Kerajaan nasihati Agong batal semua Ordinan - PMO

BACA: Kerajaan PN masih dapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen - Ismail Sabri

Menurutnya, beliau secara peribadi berpendapat bahawa Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab tehadap apa yang berlaku sebagai Ketua Kerajaan.

“Saya jadi Ketua Kerajaan sembilan tahun. Saya tahu urusan ini urusan antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong, dan tidak boleh sebenarnya diwakili kepada menteri atau pihak lain.

“Berikutan kemurkaan Agong ini, saya berpendirian, Perdana Menteri mesti ambil tanggungjawab atas apa yang berlaku dan pilihan terbaik ialah untuk Tan Sri Muhyiddin berundur secara kehormat.

“Kerana ini adalah satu yang mencerminkan bahawa Perdana Menteri ambil tanggungjawab atas apa yang berlaku. Walaupun berlaku oleh pihak lain, tetapi yang pokoknya tanggungjawabnya tak boleh diletakkan atas bahu orang lain,” katanya.