POLITICS
UMNO terima implikasi besar jika keluar Perikatan Nasional - Penganalisis

PROF DR SIVAMURUGAN: Apakah implikasinya kepada persepsi daripada kalangan orang ramai dan lebih besar daripada itu, ia juga akan memberi impak kepada mereka yang ada dalam Kabinet. -Gambar fail
KUALA LUMPUR:Sekiranya UMNO membuat keputusan untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), implikasi yang besar bakal diterima parti tersebut.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata ia tentunya akan memberikan impak kepada ahli UMNO yang merupakan menteri dalam Kabinet.
“Saya percaya UMNO harus memperhalusi dan meneliti apa sahaja keputusan yang dibuatnya.
“Apakah implikasinya kepada persepsi daripada kalangan orang ramai dan lebih besar daripada itu, ia juga akan memberi impak kepada mereka yang ada dalam Kabinet.
"Sudah pasti ia juga akan memberi kesan kepada mereka yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan.
“Jika mereka membuat keputusan untuk keluar, saya percaya ia akan menzahirkan keadaan yag tidak menentu yang juga melahirkan keadaan tidak stabil, bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepada parti, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional,” kata Dr Sivamurugan dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Rabu.
Pada Selasa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi gambaran bahawa sebarang keputusan pemimpin UMNO keluar dari kerajaan PN akan ditentukan pada Rabu dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
“Kami lihat barangkali, mesyuarat itu penting untuk menentukan hala tuju UMNO dan apakah sentimen ataupun gelombang ‘anti-Bersatu’ itu akan dipertimbangkan dalam bentuk keputusan untuk kekal dengan PN sehingga pilihan raya nanti atau membuat keputusan untuk segera keluar yang boleh menyebabkan PN tumbang,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami