BERA: Penyatuan orang Melayu di negara ini bukan sekadar membabitkan parti kaum itu semata-mata, tetapi juga harus melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di negara ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarat untuk orang Melayu menjadi lebih kuat ialah memastikan penyatuan kaum itu selain parti berkenaan membuka ruang kepada NGO-NGO
Melayu menyertai UMNO sebagai Ahli Bersekutu.

Ismail Sabri berkata, dalam konteks semasa, peranan UMNO harus lebih diperluaskan.


UMNO, tegas beliau, sepatutnya mendekati NGO-NGO Melayu ini untuk memainkan peranan menyatukan orang Melayu dengan melibatkan ahli-ahlinya secara langsung dalam keanggotaan keahlian sama ada secara terus ataupun bersekutu.

"Jika ini dapat dilaksanakan barulah peranan UMNO menyatukan orang Melayu dan Islam dapat dilihat dengan jelas," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian, Ismail Shafie dan Naib Ketua Bahagian, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku ketika ini ialah, UMNO tidak mahu menerima pihak lain dan mahu bergerak secara berseorangan.

Tindakan UMNO memilih bergerak bersendirian, tegas Ismail Sabri, sebetulnya sudah lari daripada asas perjuangan parti berkenaan.

"Asas perjuangan UMNO menjadi payung kepada penyatuan rakyat, bukan sahaja membabitkan orang Melayu malah seluruh kaum di negara ini.

"Sejarah ini tidak boleh dilupakan bagaimana peranan UMNO menjadi payung penyatuan rakyat," kata Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera.