KUALA NERUS: UMNO Terengganu optimis dapat menawan kembali negeri itu sekali gus merampas tampuk pimpinan kerajaan Pas.

Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Din Adam berkata, aras keyakinan itu berpandukan keinginan yang dilontar dan disuarakan oleh rakyat di negeri berkenaan.

Katanya, kesediaan UMNO Terengganu untuk merampas pentadbiran negeri itu daripada pimpinan Pas juga seiring dengan pendirian parti berkenaan yang ingin bertanding solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Hari ini kita melihat desakan daripada rakyat di bawah, melihat kepada keluh-desah rakyat di bawah memang rakyat bersedia untuk menyokong Barisan Nasional (BN) kembali tadbir negeri Terengganu.

“Jadi kita sebagai jentera pimpinan parti di peringkat negeri memang bersedia untuk menyahut kehendak yang telah dilontar dan disuarakan oleh masyarakat di bawah,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini pada Rabu.

Din, bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk menilai dan memilih pemimpin yang mampu mentadbir dan membela nasib mereka.

Dalam masa sama, UMNO, jelas beliau, optimis untuk merebut kembali kerusi yang pernah dimenangi parti itu bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu di Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

UMNO pula memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu kemudiannya berpindah menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah penyandangnya, Datuk Rosol Wahid isytihar keluar parti dan menyertai Bersatu.

Sementara bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Pas memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.