IPOH: DAP yakin majoriti besar Ahli Parlimen akan menyokong usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual akan dibentangkan pada Dewan Rakyat 19 Disember ini.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata malah beliau berharap Anwar akan mencapai sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen ke atas undi berkenaan.

“Saya yakin ahli-ahli Parlimen yang berprinsip akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan saya berharap ia akan dapat mencapai majoriti dua pertiga.

“Maka negara kita akan mampu menghantar mesej cukup jelas yang mana Kerajaan Perpaduan di Malaysia hari ini adalah sebuah kerajaan yang kukuh, padu dan stabil.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh 222 orang ahli Parlimen agar menyokong usul undi percaya itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Gajah merangkap Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar serta wakil-wakil rakyat DAP Negeri dan Parlimen.

Selain itu, Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata semua ahli Parlimen perlu menyokong usul undi percaya terhadap Perdana Menteri itu demi pembangunan negara.

Katanya ia termasuk dalam meyakinkan lebih ramai pelabur asing untuk melabur di negara ini dan secara tidak langsung akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi untuk rakyat.

“Negara kita kini amat memerlukan kestabilan politik supaya kerajaan yang ada pada hari ini dapat memberi tumpuan  untuk memulihkan ekonomi, membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Anwar pada Ahad dilaporkan berkata usul undi percaya kepadanya adalah bertujuan membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti ahli Parlimen.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 pada 19 Disember ini.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming mengumumkan beberapa perancangan pembangunan untuk Bandar Raya Ipoh antaranya pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Pekan Lama, naik taraf Pasar Besar serta pembangunan semula Pangsapuri Waller Court.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga mengumumkan cadangan untuk menaik taraf Pasar Pasir Pinji yang dijangka menelan belanja RM11 hingga RM13 juta.