KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta agar Pas tidak dihukum sekiranya ada pihak yang keluar atau menyertai parti itu.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Pas hanya mengambil manfaat daripada politik lompat parti yang berlaku.

Dalam catatan Minda Presiden di Facebooknya pada Rabu, Abdul Hadi meminta pihak-pihak berkenaan menghukum diri sendiri jika ada pihak yang keluar parti.

“Maka, janganlah menghukum Pas apabila ada golongan yang melompat keluar meninggalkan Pas atau menyertai Pas, sehingga terdapat mereka yang beberapa kali melompat keluar dan masuk Pas semula.

“Hukumlah diri sendiri, Pas hanya mengambil manfaat daripada politik lompat-melompat.

“Hanya mereka yang melompat dengan niat yang tidak ikhlas bersama Pas sahaja akan patah kakinya. Namun, ahli Pas yang setia tetap tidak akan patah semangat,” katanya dalam catatan Minda Presiden di Facebooknya hari ini.

Menurut Abdul Hadi, sejak penubuhannya, Pas memang “paling berpengalaman” menghadapi perangai melompat parti.

Jelas beliau, Pas sentiasa membuka pintu dan menerima semua pihak yang mahu masuk dan keluar daripadanya, bahkan menjadi tempat persingahan sementara buat pemimpin parti yang dipecat daripada parti masing-masing.

Ini katanya, termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad (1969), Tengku Razaleigh Hamzah (1990) serta Datuk Seri Anwar Ibrahim (1998) - ketiga-tiganya daripada UMNO.

Pas juga, tambah Abdul Hadi, pernah bekerjasama dengan pelbagai pihak, antaranya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diterajui presidennya sendiri Burhanuddin al-Helmi; Parti Negara pimpinan Onn Jaafar; Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh.

Ada antara parti itu kini terkubur setelah ahlinya melompat keluar daripada parti, dan dalam hal itu, kata Abdul Hadi, bukan salah Pas.

Pas juga bekerjasama dengan parti seperti PKR dan DAP, yang kemudiannya bekerjasama dengan parti serpihan Pas sendiri, Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Sekarang mereka sudah bercakaran antara satu sama lain berebut ahli sesama mereka, dan sekali lagi itu juga bukan salah Pas,” katanya.

Abdul Hadi juga menyifatkan mereka yang bertindak keluar Pas disebabkan gagal dalam proses tarbiahnya.

Beliau juga menyifatkan tindakan keluar parti yang dilakukan golongan tersebut ibarat “menyembuhkan penyakit” dalam Pas, iaitu sikap tidak sabar dan menginginkan kemenangan secara gopoh.

“Maka, Pas tidak menjadikan lompat parti sebagai suatu perkara yang boleh menghalang perjalanannya. Hal yang demikian kerana, mereka yang melompat keluar itu gagal berintegriti, manakala pendatang baharu pula dapat menyesuaikan diri bersama Pas.

“Namun, mereka yang gagal proses tarbiahnya selepas itu, biarkan dirinya melompat keluar lagi sehingga patah kaki.

“Pas akan tetap selamat, selagi Islam menjadi jasad dan rohnya,” katanya lagi.

 
Sumber Facebook abdulhadiawang

Selepas PRU14, beberapa ahli parlimen UMNO bertindak meninggalkan parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu dalam gabungan yang dikenali Pakatan Harapan.

Selepas 22 bulan, 10 ahli parlimen PKR diketuai bekas timbalan presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melompat parti dan menyertai Bersatu.

Bersatu kemudiannya bertindak meninggalkan Pakatan Harapan dan bersama UMNO dan Pas serta beberapa parti lain membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Baru-baru ini tiga lagi ahli parlimen PKR keluar parti dan menyatakan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional.