KUALA LUMPUR: Usul untuk mempertimbangkan kedudukan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam kerajaan perpaduan bukan satu bentuk ugutan kepada pentadbiran yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, Timbalan Ketua Strategik, Ibu Pejabat Asia UN SDSN, Universiti Sunway, Prof Dr Wong Chin Huat berkata, usul tersebut adalah untuk memuktamadkan sikap dan mengatur tindakan parti itu sebelum berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Kita harus lihat kongres DAP pada Ogos ini bukan bersifat peras ugut kepada kerajaan. Ini kerana, pertimbangan utama pemimpin DAP adalah untuk pastikan parti senada dan satu suara.
“Salah satu caranya adalah untuk adakan perbincangan secara terbuka baik dan buruk kekal atau keluar kerajaan. Ini memastikan satu keputusan dibuat. Jika perwakilan mahu kekal dalam kabinet, maka mereka tidak boleh buat tuntutan untuk parti bersifat seperti pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Tambahnya, jika DAP membuat keputusan untuk keluar daripada kerajaan, maka ahli parti tidak boleh merungut hilang akses kepada sumber dan jentera kerajaan.
Pada Isnin, Setiausaha Agungnya, Anthony Loke memaklumkan, DAP akan menentukan kedudukannya dalam kerajaan semasa Persidangan Kebangsaan parti itu yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini.
Beliau berkata, satu usul berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada perwakilan sebelum diputuskan oleh hampir 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan berkenaan.
Anthony turut menyatakan persidangan berkenaan akan menentukan hala tuju masa depan DAP dalam arena politik negara.
Menurutnya, sebarang keputusan sama ada parti itu akan terus kekal dalam kerajaan atau berada di luar pentadbiran perlu dibuat secara kolektif oleh para perwakilan.