PKR hari ini menerima baik kenyataan polis yang mengatakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak dapat dikaitkan sebagai pelaku dalam penyebaran video intim.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata parti itu tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang didapati bersalah menyebarkan video tersebut.

"KEADILAN menerima baik kenyataan bahawa Timbalan Presiden KEADILAN, YB DS Mohamed Azmin Ali, tidak terlibat dalam satu video yang disebar baru-baru ini.

"Berkenaan dakwaan terdapat ahli atau pemimpin parti politik yang terlibat dalam tindakan sebaran video tersebut, parti KEADILAN tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas mengikut perlembagaan parti jika terdapat penglibatan mana-mana anggota KEADILAN yang disabitkan kesalahan berlandaskan undang-undang," katanya.

BACA: Nasihat Anwar pada Azmin, ambil cuti jika video intim sahih

BACA: Video intim: Azmin minta Anwar muhasabah, cermin diri sendiri

BACA: Anwar jawab Azmin: "Saya ada tengok cermin pagi tadi"

Selain itu, Anwar turut mengulangi prinsip bahawa parti itu menolak dengan sekeras-kerasnya 'politik jijik'.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan Mohamed Azmin yang merupakan Timbalan Presiden PKR, tidak dapat dikaitkan sebagai pelaku dalam penyebaran video intim.

Menurut beliau, ini berdasarkan proses pengecaman wajah yang telah dijalankan oleh Cyber Security Malaysia mendapati ia adalah negatif.

Anwar sebelum itu turut menyambut baik pandangan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen parti itu yang memberi sokongan kepada Mohamed Azmin.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, sokongan yang diberikan 28 pemimpin kanan parti itu adalah sebagai usaha untuk mengelakkan perpecahan parti.