KLANG: Menteri Besar Selangor yang baharu dilantik, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan akan ada wakil daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang bakal dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor.

Ia sekali gus menjawab teka-teki, mengenai sama ada ADUN BN akan turut tersenarai dalam Exco Kerajaan Negeri yang akan mengangkat sumpah pada hari ini.

Tanpa memaklumkan nama ADUN terbabit, jelas Amirudin, barisan Exco Kerajaan Negeri kali ini melibatkan wakil-wakil daripada parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Semua (parti politik) ada, semua perwakilan ada. Semua 10 Exco Kerajaan Negeri termasuk saya 11, BN ada sebagai rakan kongsi kita kena bergabung bersama-sama, kita percaya gabungan perpaduan ini telah melepasi ujian pertama selepas pilihan raya.

"Walaupun masih gagal mendapat dua pertiga, tetapi kita masih ada kelebihan 12 kerusi DUN berbanding pihak lawan. Ia permulaan bagus dan kita boleh mengukuhkan pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-16 di Istana Alam Shah, Klang pada pagi Isnin.

Sebelum ini, tular di media sosial nama-nama barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baharu turut melibatkan seorang ADUN daripada BN.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua itu mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kira-kira jam 11.00 pagi Isnin.

Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan pembesar-pembesar negeri.

Manakala Istiadat Angkat Sumpah Exco Kerajaan Negeri Selangor pula akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah pada jam 2 petang Isnin.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya 12 Ogos lepas.