PADANG RENGAS: Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghadiri majlis pengumuman hala tuju politik bekas Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, wajar memberi penjelasan mengenai kehadiran mereka.
Ketua Angkatan Muda (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, mereka perlu tampil memberi penjelasan yang sewajarnya.
“Kalau mereka tidak ambil sifat yang sedemikian dan biarkan hal ini berterusan, jangan marah kalau ada orang lain terus menyerang (mereka),” katanya kepada pemberita sempena hari keluarga Padang Rengas di Kampung Labu Kubong, di sini, hari ini.
Pada 17 Mei lalu, media melaporkan mantan Timbalan Presiden PKR, Rafizi dan mantan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia atau Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Simbolik penyerahan parti itu yang akan diterajui Rafizi dan Nik Nazmi selepas ini, dibuat pada majlis pengumuman hala tuju politik dua pemimpin itu di Petaling Jaya.
Antara yang dilihat pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Ekoran dari itu, beberapa pihak di dalam PKR mendesak ahli-ahli parlimen yang berada pada majlis itllu agar melepaskan jawatan.
Mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW, Muhammad Kamil berkata, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas bagi menghentikan perbuatan sedemikian.
“Politik fitnah dah semakin menjadi-jadi politik fitnah, politik kaum, politik agama, kita tahu bila menjelang pilihan raya, inilah yang sering dimainkan oleh orang politik yang tidak bertanggungjawab.
“Saya bayangkan andai kata yang mengungkap itu Anwar Ibrahim, penuh Padang Merbuk tetapi oleh kerana ia datang daripada puak ini (Pas), ada percubaan untuk terus melenyapkan kenyataan-kenyataan yang bersifat melampau,” tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas perlu diambil supaya perkara seumpama itu tidak berakar umbi, bukan sahaja mengenai agama tetapi juga hal-hal lain.