Salah satu kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parlimen Pandan, bakal memperoleh wakil rakyat baharu apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau naib presidennya, Nurul Izzah Anwar dikatakan bakal bertanding bagi kawasan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Perkara ini disahkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, selepas beliau tidak akan bertanding pada PRU kali ini setelah dijatuhi hukuman penjara 30 bulan pada Februari lalu.

"Proses penamaan akan dimuktamadkan dalam masa seminggu lagi. Besar kemungkinannya, Wan Azizah atau Nurul Izzah akan bertanding di Pandan," kata beliau dalam satu sidang media mengenai Manifesto Barisan Nasional (BN) di ibu negara hari ini.

BACA LAGI: Rafizi umum tidak bertanding PRU 14

“Walaupun Parlimen Pandan merupakan kubu kuat kita, tetapi kita perlu meletakkan calon yang berpengalaman dan berpengaruh.

“Ini merupakan strategi kita. Apabila calon-calon ini bertanding, mereka juga mampu mengagihkan masa berkempen di kawasan lain,” tambahnya,

Menurut beliau lagi, calon yang berpengaruh adalah diperlukan bagi kawasan-kawasan yang sengit tetapi bagi kawasan Pandan, strategi ini mampu melancarkan proses kempen Pakatan Harapan (PH) terutama sekali di Lembah Klang.

Rafizi Ramli telah disabitkan bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), enam tahun lepas dan tidak layak untuk bertanding pada PRU akan datang.

Pelaksanaan hukuman kini ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.