PEKAN: Selepas sembilan hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar, di sini, pada Isnin.

Istiadat menerima Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan itu berlangsung pada pukul 11.25 pagi di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Wan Rosdy, 64, yang juga Menteri Besar Pahang pada penggal sebelum ini ditemani isterinya, Datin Seri Burhah Mohamed.

Turut hadir ke istana ialah beberapa ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Pahang yang memenangi PRU15 lalu.

Meskipun Perikatan Nasional (PN) mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  terbanyak iaitu 17 kerusi, namun kegagalan untuk mendapat sokongan Barisan Nasional (BN) menyebabkan Pahang ditadbir gabungan baharu iaitu PH dan BN.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi.

Bagaimanapun, satu kerusi iaitu DUN N.042 Tioman masih belum diketahui berikutan pengundian ditangguh sehingga 7 Disember ini susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada puku 2.30 pagi hari pengundian 19 November lepas akibat serangan jantung.

Namun begitu, keputusan DUN Tioman itu kelak, tidak juga membolehkan mana-mana parti mendapat majoriti mudah.

Pada PRU 15 lalu PH Pahang memperolehi 8 kerusi dan BN 16 kerusi.

Istiadat mengangkat sumpah itu sekali gus menamatkan terus teka-teki berhubung gabungan mana akan mentadbir kerajaan negeri susulan tiada parti memperoleh majoriti mudah 21 daripada 42 kerusi DUN Pahang dalam PRU15.