POLITICS
Wanita PKR suarakan sokongan kepada Nurul Izzah sebagai calon Timbalan Presiden

Fadhlina (kiri) menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu akan datang. - Gambar Facebook Fadhlina Sidek
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu akan datang.
Menurut Fadhlina, pencalonan Nurul Izzah merupakan manifestasi kehendak akar umbi parti yang mahukan perubahan berteraskan kestabilan, kesinambungan serta kesetiaan terhadap perjuangan parti.
“Saudari Nurul Izzah ialah tokoh pimpinan muda yang lahir daripada gelombang reformasi dan telah berada di barisan hadapan dalam setiap fasa penting Keadilan dari penubuhan parti, membawa suara rakyat di Parlimen sehinggalah kepada pembentukan Kerajaan MADANI,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Fadhlina berkata, pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR juga mencerminkan komitmen parti untuk memperkukuh agenda rejuvenasi politik nasional dengan memberi ruang kepada kepimpinan muda dan wanita.Mengulas latar belakang Nurul Izzah, Fadhlina memuji peranan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam memimpin jentera pilihan raya sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) dan penglibatannya dalam isu-isu kemanusiaan serta pemberdayaan wanita di peringkat antarabangsa.
“Komitmen beliau terhadap isu Palestin, kemiskinan multidimensi, keselamatan wanita dan kanak-kanak menjadikan beliau figura yang amat diperlukan dalam landskap politik semasa,” katanya.
Jelas Menteri Pendidikan itu lagi, sokongan terhadap anak kepada Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan bersandarkan kepada latar keturunan atau jantina, tetapi kepada keperluan parti untuk melahirkan pemimpin yang mampu membawa Keadilan ke hadapan.
“Ini bukan soal anak siapa, ini bukan soal lelaki atau wanita, ini bukan soal fraksi siapa. Ini soal kelangsungan sebuah parti keramat yang memerlukan tokoh rejuvenasi parti,” katanya.
Fadhlina turut menegaskan, akar umbi telah menyatakan sokongan mereka secara jelas agar Nurul Izzah diberi peluang untuk berperanan sebagai orang nombor dua dalam parti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami