ALOR SETAR: Ramai golongan profesional tertarik dengan Parti Warisan di Semenanjung Malaysia, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut beliau, golongan itu terdiri daripada pegawai bank dan doktor sekali gus membuktikan parti itu semakin mendapat sambutan di Semenanjung selepas penubuhannya di beberapa negeri.

Jelasnya, ini memberi penanda positif dalam usaha parti itu melebarkan sayapnya.

Kata beliau, ini terbukti dengan penubuhan Warisan di negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Negeri Sembilan dan selepas ini Melaka sebagai negeri keenam.

"Di Melaka akan datang dalam bulan depan saya ingat kita akan lancarkan dan sambutan cukup menggalakkan walaupun merupakan satu parti yang mereka cakap parti nyamuk, parti kecil tetapi kita dapat melihat sambutan baik.

"Penyertaan beberapa tokoh pimpinan yang ada di negara ini sama ada Perlis, Kedah, Johor sehinggalah Melaka," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Parti Warisan Negeri Kedah di Alor Setar, pada Sabtu.

Ujar Mohd Shafie lagi, penerimaan daripada golongan muda juga cukup menggalakkan apabila ramai di antara mereka telah menyertai parti itu.

Katanya, ini jelas apabila penubuhan Warisan di Pulau Pinang mendapat penyertaan dan sokongan tinggi daripada anak muda.

Jelasnya, ini memberi tonik kepada Warisan dalam rangka persiapan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kita dapat melihat gambaran yang diberikan, penyertaan mereka cukup menggalakkan.

"Semalam di Pulau Pinang jamuan makan yang kita anjurkan, begitu ramai dan itu satu petanda yang cukup baik tapi saya ada nasihatkan pimpinan kita jangan hanya musim jamuan ramai.

"Yang penting kepada kita, musim pilihan raya undinya ramai," katanya lagi.