KOTA BELUD: Parti Warisan menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kesediaan itu kerana Sabah memerlukan satu gabungan parti tempatan yang kuat di peringkat akar umbi.

"Seperti yang saya nyatakan, kena ada juga pihak-pihak di peringkat akar umbi, bukan hanya suara daripada luar.

"Perlunya ada gabungan dengan parti tempatan dan di antaranya yang saya lihat ialah PBS kerana saya kenal mereka. Saya kenal sebahagian pimpinan di peringkat akar umbi.

"Saya rasa kalau itu menjadi satu pilihan, saya nyatakan dengan pimpinan Warisan tak jadi masalah kalau PBS," kata Mohd Shafie.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kaamatan Parti Warisan di Dewan Kedamaian Square Taginambur pada Ahad.

Mohd Shafie bagaimanapun berkata segala jalinan kerjasama selepas ini haruslah disusuli selepas pihaknya mengukuhkan Warisan terlebih dahulu.