KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Zahid dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu segera mengadakan mesyuarat dan mengumumkan keputusan berhubung pemilihan parti serta menyelesaikan segala isu berbangkit.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, presiden serta kepimpinan tertinggi parti perlu memberikan perhatian terhadap isu pentadbiran seperti status mesyuarat perwakilan yang sehingga kini tidak diberikan penjelasan menyeluruh.

"Adalah adil untuk UMNO meminta persidangan Parlimen diadakan, namun pada masa sama  perlu mengutamakan isu-isu berbangkit dalaman parti termasuklah  melibatkan kredibiliti Presiden UMNO yang perlu juga diselesaikan segera.

"Ini bagi membersihkan nama Presiden dan yang paling utama nama baik UMNO. Ini juga perlu diselesaikan segera.

"MKT perlu mesyuarat dan mengumumkan keputusan mereka berkenaan mesyuarat perwakilan dan segala isu berbangkit mengikut segala aturan yang ada," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: "Presiden UMNO perlu dikenakan tindakan" - Shahidan Kassim

BACA: 
UMNO beri tempoh 14 hari untuk kerajaan panggil sidang Parlimen


Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin menggesa pemilihan disegerakan supaya Ahmad Zahid dapat mengubah keputusan parti yang sebelum ini menolak kerjasama dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu ujar Mohd Irwan, kenyataan UMNO melalui Ahmad Zahid yang menyatakan parti berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan tersebut boleh mengelirukan rakyat.

"Ayat yang digunakan tidak mencerminkan ayat sebenar yang digunakan melalui titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan tidak ada perkataan 14 hari dititahkan melalui kenyataan rasmi media Istana Negara atau kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.


[TERKINI] Pergolakan UMNO belum berkesudahan - Shahidan

"Maka timbul persoalan siapa yang mengeluarkan kenyataan 14 hari tersebut? Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa.

"Maka adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak menetapkan sebarang tarikh bagi memanggil sidang parlimen kecuali Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan seorang Ahli Parlimen daripada UMNO mengaku menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri.

Shahidan berkata, Ahli Parlimen itu memberitahunya, menandatangani dokumen sokongan itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Ahmad Zahid serta seorang individu kenamaan.