Skip to main content

Malaysia

MPAJ erat hubungan media menerusi pertandingan boling sempena ulang tahun ke-34

TB_BOLING AWANI_AWANI
Pertandingan itu diadakan sempena sambutan Ulang Tahun MPAJ ke-34 sebagai usaha mengukuhkan hubungan strategik antara pihak berkuasa tempatan itu dengan organisasi media.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hampir 100 peserta terdiri daripada pengamal media, Ahli Majlis serta pegawai kanan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyertai Pertandingan Boling Jalinan Mesra MPAJ bersama Media di Ampang Point, semalam.

Menurut MPAJ dalam satu kenyataan, pertandingan itu diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun MPAJ ke-34 sebagai usaha mengukuhkan hubungan strategik antara pihak berkuasa tempatan itu dengan organisasi media.

Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari.

Antara pasukan media yang turut serta ialah Astro AWANI, Harian Metro, The Star, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Selangor, China Press, Sinar Harian, HabMedia, Selangor FM dan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).

Pasukan Geng Metro Old School yang mewakili Harian Metro muncul juara selepas mencatat jatuhan 1,438 pin sekali gus membawa pulang piala serta hadiah wang tunai RM800.

Image
INSERT_BOLING AWANI_AWANI
Astro AWANI muncul naib juara dengan jatuhan 1,435 pin.

Astro AWANI pula muncul naib juara dengan jatuhan 1,435 pin, diikuti The Star di tempat ketiga (1,420 pin), manakala pasukan Pin Splitz daripada RTM menduduki tempat keempat (1,313 pin).

Naib juara menerima hadiah wang tunai RM500, manakala pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM300 dan RM150. 

Selain pertandingan boling, acara itu turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang memberi peluang kepada peserta berinteraksi dalam suasana santai dan harmoni.

MPAJ berkata program seumpama itu mampu memperkukuh kerjasama sedia ada serta mewujudkan hubungan kerja yang lebih erat antara pihak berkuasa tempatan dan pengamal media.

 

Must Watch Video

Advertisement