Skip to main content

Dunia

24 ditahan, enam kes tikaman dilaporkan selepas perarakan kejuaraan Arsenal di London

Soccer Football - Premier League - Arsenal Victory Parade - London, Britain - May 31, 2026 General view as Arsenal fans celebrate during the victory parade REUTERS/Dylan Martinez
Penyokong Arsenal meraikan kejayaan pasukan pilihan mereka dalam EPL ketika perarakan kejuaraan di London, Britain, 31 Mei 2026. REUTERS

LONDON: Seramai 24 individu ditahan manakala enam kes tikaman dilaporkan susulan perarakan meraikan kejuaraan Arsenal di utara London, menurut Polis Metropolitan pada Isnin, lapor Xinhua.

Menurut polis, lebih 500 pegawai bersama pasukan khas pemeriksaan dan dron dikerahkan bagi acara Ahad itu yang menarik kehadiran ratusan ribu penyokong.

Perarakan itu diadakan bagi meraikan kejuaraan pertama Liga Perdana Inggeris pasukan lelaki Arsenal selepas 22 tahun.

Pasukan wanita kelab itu turut menyertai sambutan berkenaan susulan kejayaan menjuarai Piala Juara-Juara FIFA musim ini.

Polis berkata sebahagian besar penyokong meraikan kejayaan itu secara selamat dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun, beberapa insiden berlaku sepanjang hari berkenaan.

Antara tangkapan dibuat melibatkan kes disyaki menyerang anggota polis, serangan seksual, mendatangkan kecederaan parah, kesalahan ketenteraman awam dan kesalahan berkaitan dadah.

Empat van polis turut rosak di Islington dan siasatan masih dijalankan.

Lewat malam itu, selepas kebanyakan orang ramai mula bersurai, polis bertindak balas terhadap enam kes tikaman dalam kawasan perarakan.

Kebanyakan mangsa yang cedera tidak mengalami kecederaan serius, menurut polis.

Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang pada mulanya dibawa ke hospital dalam keadaan mengancam nyawa kini dilaporkan stabil.

Perintah Seksyen 60, yang memberi kuasa tambahan kepada pegawai untuk menjalankan pemeriksaan dan geledah, dikuatkuasakan semalaman di kawasan berkenaan bagi membantu mencegah kesalahan lanjut.

Komander Stuart Bell, yang mengetuai operasi polis, berkata siasatan terhadap insiden berkenaan masih diteruskan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement