Skip to main content

Dunia

Ahli FIFA perlu tentukan masa depan Infantino pada pemilihan 2027 - Presiden CAF

61675332964_GianniInfantino.jpg
Infantino yang dijangka menawarkan diri untuk dipilih semula berdepan bantahan terbuka selepas tiga konfederasi utama iaitu UEFA, AFC dan CONCACAF mengkritik tindakannya serta menggesanya melepaskan jawatan susulan kegagalan usahanya membawa pelaburan swasta ke dalam kejohanan FIFA, termasuk Piala Dunia. - Gambar fail
Advertisement

RABAT: Nasib Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, yang berdepan tekanan susulan kontroversi melibatkan cadangan pelaburan swasta dalam pertandingan di bawah FIFA, perlu ditentukan oleh 211 persatuan anggota badan induk bola sepak dunia itu menerusi pemilihan akan datang, kata Presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Patrice Motsepe.

Infantino yang dijangka menawarkan diri untuk dipilih semula berdepan bantahan terbuka selepas tiga konfederasi utama iaitu Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) mengkritik tindakannya serta menggesanya melepaskan jawatan susulan kegagalan usahanya membawa pelaburan swasta ke dalam kejohanan FIFA, termasuk Piala Dunia.

Bagaimanapun, Motsepe berpandangan, keputusan mengenai masa depan Infantino wajar diserahkan sepenuhnya kepada anggota FIFA ketika Kongres FIFA Ke-77 yang dijadual berlangsung di Rabat, Maghribi pada 18 Mac tahun depan.

“Pemilihan akan berlangsung tahun depan. Kita perlu membenarkan proses itu diteruskan dan biar 211 anggota membuat keputusan,” katanya dalam temu bual bersama Sky News pada Rabu.

“Jika ada calon yang mahu mencabarnya, kemukakan nama mereka. Itulah perkara yang sepatutnya dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, tumpuan utama seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh perpaduan dan kerjasama dalam pembangunan bola sepak global.

“Apa yang saya mahu fokuskan ialah perpaduan dan kerjasama. Bagaimana kita boleh terus membangunkan serta memajukan bola sepak di tengah-tengah pelbagai cabaran yang kita hadapi?

“Kita perlu menangani cabaran itu, menyelesaikannya dan terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Motsepe turut menegaskan, mana-mana pemimpin perlu bersedia menerima penelitian dan dipersoalkan sekiranya terdapat kebimbangan terhadap cara mereka mentadbir organisasi.

“Jika saya sebagai presiden bertindak dengan cara yang tidak mematuhi proses sewajarnya atau tadbir urus yang baik, saya sewajarnya disoal dan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau menambah, FIFA mempunyai saluran dan mekanisme tersendiri untuk menangani sebarang aduan terhadap mana-mana individu dalam organisasi itu.

“Jika sesiapa mempunyai masalah terhadap sesiapa sahaja, sama ada Gianni atau individu lain, ikuti proses FIFA. Dan jika mahu menyingkirkannya, lakukan melalui pemilihan. Semudah itu.

“Biarkan 211 persatuan anggota membuat keputusan. Undian itu akan menunjukkan sama ada mereka masih mempunyai keyakinan terhadapnya atau tidak.

“Setiap orang berhak menerima penghakiman yang adil dan layanan yang saksama. Setiap pihak perlu diberi peluang untuk didengari. Proses sewajarnya, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi,” tegasnya.

Pada masa sama, Motsepe mengesahkan Infantino masih mendapat sokongan daripada CAF dan negara-negara anggota di benua Afrika.

“Beliau sentiasa setia kepada bola sepak Afrika. Beliau menikmati sokongan Afrika,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement