BUENOS AIRES: Bapa kepada bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi dilaporkan sedang pulih daripada masalah kesihatan dan menunjukkan perkembangan positif, menurut kenyataan keluarganya pada Khamis.
Spekulasi mengenai keadaan kesihatan Jorge Messi semakin meningkat selepas Messi dilihat mengesat air mata menggunakan jersinya sejurus menjaringkan gol pertama Argentina ketika menentang Algeria dalam aksi Piala Dunia.
Messi kemudian menjelaskan, dia menangis atas sebab peribadi yang tidak berkaitan dengan bola sepak dan mengakui telah melalui hari-hari yang sukar.
Keluarga Messi memaklumkan, Jorge kini berada di bawah pemantauan perubatan dan meminta agar privasi mereka dihormati, tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai jenis penyakit yang dihidapi.
“Kami menegaskan bahawa kesihatan seseorang serta ketenangan orang di sekelilingnya tidak sepatutnya menjadi bahan spekulasi atau perhatian media yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Sumber yang rapat dengan keluarga memberitahu Reuters, Jorge kini berada dalam keadaan sensitif di sebuah hospital di Argentina.
Sementara itu, Argentina dijadual meneruskan saingan mempertahankan kejuaraan apabila menentang Austria dalam aksi Kumpulan J pada Isnin. - Agensi