Skip to main content

Sukan

Cadangan FIFA libatkan pelabur swasta cetus bantahan, perlu rundingan menyeluruh

KUALA LUMPUR, 23 Feb -- Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Stanley Bernard bercakap pada sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Bekas pemain kebangsaan Stanley Bernard menyifatkan tindakan Presiden FIFA Gianni Infantino mengedarkan surat mengenai cadangan itu sebelum perbincangan rasmi seolah-olah keputusan telah dibuat, sekali gus mencetuskan bantahan beberapa konfederasi termasuk Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA). - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Cadangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan pelabur swasta memiliki pegangan dalam syarikat komersial baharunya, FIFA Forward Enterprise (FFE) perlu dibincangkan secara menyeluruh bersama semua ahli gabungan sebelum sebarang keputusan dibuat. 

Bekas pemain kebangsaan Stanley Bernard menyifatkan tindakan Presiden FIFA Gianni Infantino mengedarkan surat mengenai cadangan itu sebelum perbincangan rasmi seolah-olah keputusan telah dibuat, sekali gus mencetuskan bantahan beberapa konfederasi termasuk Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

“Saya rasa masalah pertama adalah bagaimana benda itu (surat) keluar kepada ahli gabungan, bila surat-menyurat daripada Presiden FIFA keluar, ia sudah seperti satu keputusan (telah dibuat), bukan lagi cadangan. Langkah pertama dalam satu cadangan besar seperti ini adalah perlu untuk membawa kesemua 211 ahli ke dalam satu bilik bagi berbincang terlebih dahulu.

“Jika itu tidak berlaku, dan hanya keluarkan surat, sudah tentu dalam mana-mana keputusan besar di dunia, mesti ada bantahan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Stanley berkata beliau memahami rasional FIFA memaksimumkan potensi komersial Piala Dunia, namun menegaskan kebimbangan utama adalah skop hak yang bakal diberikan kepada pelabur swasta menerusi sebarang perjanjian.

Beliau berkata perkara berkenaan perlu diperjelas kerana berpotensi memberi kesan terhadap identiti dan hala tuju kejohanan paling berprestij dunia itu.

“Apa yang menakutkan semua pihak ialah apabila tunjang ini (komersial) dijual, dalam klausa kontrak itu, apa yang anda jual? Adakah pelabur swasta itu boleh buat apa sahaja yang dia mahu? Berapa lama?

“Adakah mereka ada hak untuk menukar bentuk dan rupa kejohanan FIFA? Sebab itu perbincangan bersemuka bersama 211 ahli amat penting, semuanya mesti dinyatakan secara jelas,” katanya.

Stanley berkata hak komersial merupakan nadi kepada penganjuran Piala Dunia dan sebarang perubahan perlu diputuskan secara kolektif tanpa menjejaskan legasi kejohanan itu.

Mengulas kemungkinan UEFA memboikot Piala Dunia sekiranya cadangan itu diteruskan, beliau bagaimanapun tidak menjangka perkara itu akan berlaku kerana cadangan berkenaan masih tertakluk kepada proses demokrasi dalam FIFA.

Katanya, sekiranya boikot benar-benar berlaku, impaknya akan dirasai seluruh ekosistem bola sepak termasuk peminat, pemain dan badan pentadbir sukan itu. 

Sementara itu, penganalisis sukan Datuk  Dr Pekan Ramli berpendapat kebimbangan UEFA bukan sahaja berkaitan aspek komersial, malah turut melibatkan cara keputusan dibuat dalam pentadbiran FIFA.

Beliau berkata FIFA di bawah kepimpinan Infantino dilihat semakin agresif mengkomersialkan Piala Dunia, termasuk menerusi cadangan memperluas saiz kejohanan dan usaha menarik lebih banyak pulangan kewangan.

“Bila diswastakan nanti… mungkin akan berlaku banyak perkara yang boleh menjejaskan dari segi kepentingan peribadi ataupun konflik kepentingan, ada daripada aspek integriti dan sebagainya. Akhirnya akan menjejaskan imej FIFA itu sendiri nanti,” katanya.

Menurut Pekan, tindakan memboikot Piala Dunia akan memberi kesan besar kepada kredibiliti serta nilai komersial kejohanan berkenaan.

“Kalau UEFA tidak setuju, jadi FIFA, Infantino sendiri harus mengambil perhatian serius tentang perkara ini. Kalau Piala Dunia itu tidak membabitkan benua Eropah, siapalah nak tengok Piala Dunia ini? Penaja-penaja pun akan lari,” katanya sambil menyifatkan Eropah sebagai nadi kepada bola sepak dunia.

Beliau turut menggesa FIFA menyelesaikan perbezaan pendapat dengan UEFA melalui rundingan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan cadangan itu, selain berpendapat badan induk bola sepak dunia itu perlu menghormati UEFA sebelum mencadangkan apa-apa perkara.

Terdahulu, media tempatan dan antarabangsa melaporkan 55 persatuan anggota UEFA mengancam untuk memboikot Piala Dunia sekiranya FIFA meneruskan cadangan membenarkan pelabur swasta memiliki pegangan dalam syarikat komersial baharunya.

Dalam kenyataan UEFA menegaskan tiada pasukan kebangsaan di bawah naungannya akan menyertai mana-mana kejohanan FIFA selagi cadangan itu tidak dibatalkan sepenuhnya, selain FIFA perlu memberi jaminan bahawa model sama tidak diperkenalkan pada masa depan.

Ia selepas FIFA mengumumkan cadangan menubuhkan anak syarikat komersial dikenali FFE bagi menguruskan kejohanan utama seperti Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab, Selasa lepas. 

Menerusi pelan itu, pelabur swasta dibenarkan memiliki pegangan minoriti dalam syarikat berkenaan, dengan FIFA menyasarkan kutipan hingga USD4.2 bilion (kira-kira RM19.4 bilion) berdasarkan penilaian syarikat bernilai USD20 bilion (RM92.4 bilion).

Jika diluluskan, setiap daripada 211 ahli gabungan FIFA akan menerima bayaran sekali sebanyak USD20 juta (RM92.4 juta) pada awal 2027, selain peruntukan pembangunan bagi kitaran 2027 hingga 2030 meningkat daripada USD8 juta kepada USD20 juta.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement