ZURICH: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengecam apa yang disifatkannya sebagai usaha berterusan dan terancang untuk menjejaskan organisasi itu serta Presidennya, Gianni Infantino.
Kenyataan tersebut dibuat susulan laporan media yang mendakwa seorang wanita yang dikaitkan dengan Infantino menerima pampasan pemberhentian kerja daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas berlaku hubungan sulit ketika beliau berkhidmat sebagai setiausaha agung badan itu.
Jurucakap FIFA sebelum ini menegaskan, Infantino menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak benar sama sekali.
Dalam kenyataan terbaharunya pada Sabtu, FIFA menyelar penyebaran dakwaan yang tidak disokong fakta serta tuntutan yang didakwa terbukti palsu.
"Berspekulasi dan membuat sindiran tidak sepatutnya dianggap sebagai fakta," menurut kenyataan itu.
Infantino kini berdepan tekanan yang semakin memuncak daripada UEFA dan beberapa persatuan bola sepak Eropah susulan cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) yang akhirnya dibatalkan.
Cadangan FFE itu melibatkan penubuhan sebuah syarikat baharu untuk menguruskan hak komersial dan penjualan tiket FIFA, dengan 21 peratus pegangan dirancang untuk dijual kepada syarikat pelaburan swasta.
UEFA menyatakan keyakinannya terhadap Infantino telah terhakis, manakala Presiden Persekutuan Bola Sepak Norway (NFF), Lise Klaveness, pada Jumaat menggesa pemimpin kelahiran Switzerland-Itali itu meletakkan jawatan.
Badan induk bola sepak Eropah itu turut menegaskan ancaman untuk memboikot acara FIFA masih dipertimbangkan kerana belum menerima jaminan bahawa pelan FFE tidak akan dihidupkan semula pada masa hadapan.
Bagaimanapun, FIFA mempertahankan kedudukan Presidennya dengan menyatakan bahawa Infantino dipilih secara demokratik oleh persatuan ahli FIFA dan masih menjalankan tugas berdasarkan mandat yang diberikan.
"Semakin jelas bahawa terdapat usaha yang terancang dan berterusan oleh pihak tertentu untuk melemahkan FIFA dan presidennya.
"Mereka yang tidak mendapat sokongan daripada persatuan ahli FIFA tidak seharusnya cuba mencapai matlamat mereka melalui tuduhan, sindiran atau maklumat mengelirukan yang gagal diperoleh menerusi proses demokrasi FIFA," kata badan itu.
Penentangan terhadap Infantino kini dilihat tertumpu dalam kalangan negara Eropah.
Persekutuan Bola Sepak Mexico bertindak menyokong Infantino meskipun pendirian itu berbeza daripada badan serantaunya, Concacaf.
Malah, ia menyokong pendirian Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) bahawa sebarang usaha untuk menyingkirkan Infantino perlu diputuskan melalui undian melibatkan kesemua 211 negara anggota FIFA.
Infantino turut mendapat sokongan sebulat suara daripada 54 negara anggota Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).
FIFA: Pengawasan tidak bermakna fakta boleh diputar belit
Pada Rabu lalu, Infantino mengadakan pertemuan bersama ahli lembaga pengurusan FIFA di Rabat, Maghribi.
Susulan mesyuarat itu, FIFA mengeluarkan kenyataan bersama atas nama Infantino dan Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, yang memohon maaf berhubung cadangan FFE.
Namun, mereka menegaskan, FIFA tidak akan lagi bertolak ansur terhadap sebarang serangan ke atas integriti organisasi, tadbir urus yang baik dan proses sewajarnya.
Dalam kenyataan terbaharu itu, FIFA sekali lagi mempertahankan dirinya daripada kritikan yang diterima.
"Perubahan sememangnya akan mencabar kepentingan pihak tertentu, namun perbezaan pandangan terhadap perubahan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melemahkan mandat demokratik presiden FIFA atau institusi yang dipilih untuk dipimpinnya," menurut kenyataan tersebut.
FIFA menegaskan, organisasi itu mengalu-alukan penelitian dan semakan yang sah, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memutarbelitkan fakta, memperbesar tuduhan yang tidak berasas atau mewujudkan isu sampingan bagi menghalang kemajuan.
"Jika terdapat laporan yang tidak tepat atau mengelirukan, FIFA akan mencabarnya secara terus dan tegas," kata badan induk bola sepak dunia itu. - Agensi