Skip to main content

Dunia

Infantino nafi dakwaan UEFA bayar pampasan kepada wanita didakwa kekasih

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Quarter Final - Norway v England - Miami Stadium, Miami Gardens, Florida, U.S. - July 11, 2026 FIFA President Gianni Infantino in the stands before the match REUTERS/Dylan Martinez
Infantino menafikan dakwaan bahawa Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pernah membuat bayaran pampasan kepada seorang wanita yang didakwa mempunyai hubungan romantik dengannya ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung badan induk bola sepak Eropah itu. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

LONDON: Presiden FIFA, Gianni Infantino, menafikan dakwaan bahawa Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pernah membuat bayaran pampasan kepada seorang wanita yang didakwa mempunyai hubungan romantik dengannya ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung badan induk bola sepak Eropah itu.

Menurut laporan siasatan akhbar The Daily Telegraph, wanita terbabit menerima bayaran pemisahan bernilai enam angka daripada UEFA ketika Infantino masih memegang jawatan tersebut.

Bagaimanapun, jurucakap Infantino menegaskan, dakwaan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

"Presiden FIFA, Gianni Infantino, dengan tegas menafikan dakwaan ini dan ia adalah tidak benar sama sekali. Sebarang dakwaan mengenai perlakuan tidak wajar atau pelanggaran statut serta peraturan adalah bersifat fitnah," kata jurucakap itu.

Menurut laporan berkenaan, wanita terbabit didakwa mempunyai hubungan dengan Infantino yang kini berstatus berkahwin, sepanjang tempohnya bersama UEFA.

Jurucakap itu turut menegaskan, tiada pekerja di UEFA atau FIFA pernah membuat aduan terhadap tingkah laku Infantino kerana tiada sebarang insiden melibatkan beliau berlaku.

Dalam kenyataan berasingan, UEFA mengesahkan, bayaran telah dibuat kepada individu yang dimaksudkan, namun menjelaskan pembayaran itu merangkumi kos bagi membolehkannya menamatkan pengajian sarjana di sebuah sekolah perniagaan tempatan.

UEFA turut menegaskan, semua pembayaran dibuat mengikut peraturan yang berkuat kuasa ketika itu, walaupun garis panduan berkaitan telah diperketatkan sejak itu bagi memenuhi standard organisasi moden berprofil tinggi.

Kontroversi terbaharu itu menambah tekanan terhadap Infantino yang kini berdepan desakan supaya meletakkan jawatan sebagai Presiden FIFA susulan cadangannya untuk menjual pegangan dalam Piala Dunia kepada pelabur swasta.

Infantino yang berusia 56 tahun sebelum ini memohon maaf atas beberapa "kesilapan" dalam cadangan berkenaan, namun kekal menerajui FIFA selepas memperoleh sokongan eksekutif kanan dalam satu mesyuarat di Maghribi pada Rabu.

Beliau menyertai UEFA pada tahun 2000 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung pada 2009. Pada 2016, beliau mengambil alih jawatan Presiden FIFA.

Walaupun cadangan melibatkan pelaburan swasta dalam Piala Dunia itu telah dibatalkan, beberapa pasukan kebangsaan Eropah masih mengancam untuk memboikot acara anjuran FIFA dengan mendakwa syarat tertentu belum dipenuhi.

Sebaliknya, Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), serta persatuan bola sepak Mexico dan Argentina dilaporkan terus menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Infantino. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement