TURIN: Juventus mengumumkan ketibaan pemain sayap muda Bosnia dan Herzegovina, Kerim Alajbegovic, daripada Bayer Leverkusen dalam perpindahan bernilai 30 juta euro (RM141.5 juta), menurut kelab Serie A itu pada Ahad.
Alajbegovic, 18, yang menghabiskan musim lalu bersama RB Salzburg, menjaringkan 13 gol dalam 44 penampilan dalam semua pertandingan.
Pemain kelahiran Jerman itu menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Juventus.
Alajbegovic turut mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila menyempurnakan sepakan penalti dalam kemenangan Bosnia ke atas Wales dan Itali dalam aksi playoff Piala Dunia.
Beliau juga menjaringkan gol pembukaan ketika Bosnia menewaskan Qatar 3-1 untuk mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah negara itu.
Bagaimanapun, perjalanan Bosnia berakhir di pusingan tersebut selepas tewas 0-2 kepada tuan rumah bersama, Amerika Syarikat.
Alajbegovic memulakan pembangunan kariernya di akademi Bayer Leverkusen sejak 2021 sebelum menyertai Salzburg.
Leverkusen kemudian membawa pulang pemain muda itu dengan kontrak baharu selama lima tahun sebelum perpindahannya ke Juventus dimeterai. - Agensi