Skip to main content
Advertisement

Teknologi

Discord perkenal kaedah baharu pengesahan umur, tidak lagi bergantung kepada kad pengenalan

61681724461_Discord.jpg
Menerusi sistem baharu itu, sebahagian pengguna boleh mengesahkan status sebagai pengguna dewasa menggunakan kad kredit menerusi kerjasama dengan penyedia perkhidmatan keselamatan kanak-kanak, k-ID. -Foto fail
Advertisement

SAN FRANCISCO: Platform komunikasi dalam talian, Discord, memperkenalkan beberapa kaedah baharu bagi pengesahan umur pengguna, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah memuat naik dokumen pengenalan diri atau swafoto video yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan berkaitan privasi.

Langkah itu diperkenalkan selepas pengguna menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan data peribadi sekiranya maklumat pengenalan diri digunakan dalam proses pengesahan umur, lapor Amanz.

Menerusi sistem baharu itu, sebahagian pengguna boleh mengesahkan status sebagai pengguna dewasa menggunakan kad kredit menerusi kerjasama dengan penyedia perkhidmatan keselamatan kanak-kanak, k-ID.

Maklumat kad akan disahkan menerusi platform pembayaran Stripe tanpa Discord atau k-ID menerima nombor kad pengguna.

Selain itu, Discord turut membolehkan perkongsian julat umur menerusi Apple App Store dan Google Play Store tanpa mendedahkan tarikh lahir sebenar pengguna.

Kemudahan sama juga boleh digunakan melalui Google Wallet bagi pengguna yang telah mendaftarkan dokumen pengenalan digital yang disokong.

Pada masa sama, Discord melaksanakan sistem anggaran umur automatik yang mengklasifikasikan akaun kepada kategori dewasa, remaja atau tidak disahkan berdasarkan pelbagai isyarat akaun.

Pengguna yang diklasifikasikan sebagai dewasa boleh mengakses semua ciri platform, manakala akaun remaja akan tertakluk kepada beberapa perlindungan tambahan termasuk sekatan terhadap kandungan sensitif dan ruang yang mempunyai had umur.

Bagi akaun yang belum dapat ditentukan kategori umurnya, akses kepada sebahagian ciri dan saluran tertentu akan dihadkan sehingga pengesahan umur dilengkapkan.

Discord berkata pengguna boleh menyemak status klasifikasi akaun masing-masing menerusi menu User Settings dan pilihan Account Status.

Syarikat itu menjelaskan sistem berkenaan menggunakan pelbagai isyarat akaun, termasuk tempoh kewujudan akaun dan komuniti yang disertai, namun tidak meneliti kandungan mesej, panggilan atau komunikasi peribadi pengguna.

Must Watch Video

Advertisement