NAOMI Osaka mendapat perhatian ramai semasa catwalk dan sesi bergambar di red carpet apabila mengenakan busana dramatik penuh seni yang direka khas oleh pereka fesyen terkenal Robert Wun.
Bertemakan ‘Fashion Is Art’, penampilannya dimulakan dengan kot berwarna gading berstruktur arca, lengkap dengan hiasan bulu merah dan topi dramatik, rekaan pembuat topi London, Awon Golding.
Lebih mega, di sebalik kot tersebut tersembunyi gaun merah berkilauan yang dipenuhi kristal Swarovski, sekali gus menjadikan penampilannya antara yang paling menonjol pada malam berprestij itu.
Rekaan itu turut menampilkan bahagian belakang terbuka dengan ikatan tali yang memberi sentuhan dramatik dan artistik.
Pelbagai penelitian dilakukan termasuk 659,000 jahitan sulaman dan mengambil masa lebih 3,200 jam untuk menyiapkan masterpiece tersebut!
Kalau selama ini peminat hanya menyaksikan dia berpakaian sukan tenis di gelanggang, Naomi amat teruja dan menghargai peluang untuk mengekspresikan gaya peribadinya di pentas fesyen terbesar dunia.
Bagaimanapun, cabaran berbeza menanti Naomi di kejohanan seterusnya - Terbuka Itali - apabila beberapa hari selepas tampil elegan, bekas pemain nombor satu dunia itu mendedahkan beberapa barangan peribadinya dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke kejohanan berkenaan di platform media sosial.
Ramai peminat serta rakan atlet memberikan kata-kata sokongan kepadanya selain berharap insiden berkenaan tidak mengganggu fokus untuk menghadapi kejohanan penting musim ini.