TOKYO: Perubahan iklim meningkatkan risiko suhu panas yang boleh menjejaskan prestasi pemain dan memperlahankan tempo permainan dalam 97 daripada 104 perlawanan Piala Dunia akan datang, menurut kumpulan penyelidikan dan komunikasi iklim bukan berasaskan keuntungan awal bulan ini, lapor Kyodo News.
Climate Central meneliti kebarangkalian suhu melebihi 28 darjah Celsius, iaitu ambang yang dikaitkan dengan kemerosotan prestasi pemain seperti pengurangan kekerapan melakukan larian pantas dan tempoh pemulihan yang lebih perlahan.
Menurut kumpulan itu, suhu panas akan mengancam keselamatan atlet dan penyokong selain menjejaskan kualiti permainan pada kejohanan bola sepak yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai depan, yang dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS).
Analisis itu membandingkan keadaan iklim semasa yang dipengaruhi perubahan iklim akibat aktiviti manusia dengan senario tanpa perubahan iklim bagi menentukan bagaimana pemanasan global mengubah kebarangkalian suhu panas yang menjejaskan prestasi pemain ketika perlawanan.
Pasukan kebangsaan Jepun dijangka berdepan masalah akibat suhu panas pada peringkat kumpulan. Kebarangkalian pasukan itu berdepan kesan suhu panas dianggarkan 95 peratus ketika perlawanan menentang Belanda pada Ahad di Dallas, Texas; 79 peratus ketika menentang Tunisia pada 20 Jun di Monterrey, Mexico; dan 98 peratus ketika menentang Sweden pada 25 Jun di Dallas.
Angka bagi ketiga-tiga perlawanan itu adalah lebih tinggi berbanding senario tanpa perubahan iklim.
Menurut analisis itu, antara semua perlawanan Piala Dunia, perubahan iklim paling meningkatkan kebarangkalian suhu panas yang menjejaskan prestasi pemain bagi perlawanan Uruguay menentang Sepanyol di Guadalajara, Mexico pada 26 Jun -- dengan peningkatan sebanyak 37 mata peratusan kepada 70 peratus.
“Bermain dalam suhu melebihi 28 darjah Celsius mengubah corak permainan -- menjejaskan taktikal, tempo dan kualiti keseluruhan,” kata Mike Tipton, profesor di Universiti Portsmouth dan anggota pasukan analisis Climate Central.
“Kita melihat pengurangan intensiti, kurang larian pantas dan kemungkinan lebih sedikit peluang dapat dicipta.”
Pemain pasukan kebangsaan Norway Morten Thorsby berkata: “Analisis ini menjelaskan bahawa peningkatan suhu bukan sahaja risiko kesihatan serius kepada pemain dan penyokong, malah mula menjejaskan kualiti permainan itu sendiri.
“Apabila suhu panas menjejaskan larian pantas, pemulihan dan intensiti keseluruhan permainan, ia mengubah cara bola sepak dimainkan -- dan bukan ke arah yang lebih baik,” katanya.
-- BERNAMA-KYODO