HOUSTON, AMERIKA SYARIKAT: Portugal bermain dengan menggunakan kebijaksanaan taktikal, bukan semata-mata emosi ketika membelasah Uzbekistan 5-0 awal pagi tadi, dalam aksi yang jelas menunjukkan mereka mengambil pengajaran daripada keputusan seri mengecewakan pada perlawanan pembukaan Piala Dunia, kata jurulatih Roberto Martinez.
Cristiano Ronaldo muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia apabila meledak dua gol dalam kemenangan besar itu, sekali gus membantu Portugal meredakan kritikan susulan keputusan seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo dalam aksi pembukaan Kumpulan K.
“Apabila kami menjaringkan gol dalam perlawanan pertama, kami hilang disiplin dan bentuk permainan,” kata Martinez.
“Kami memberi ruang kepada lawan untuk melakukan serangan balas dan gagal menembusi kawasan serangan terakhir. “Kami bermain dengan hati, bukan dengan akal. Namun hari ini sebaliknya berlaku. Pasukan sangat berdisiplin.”
Portugal meningkatkan intensiti sebaik wisel permulaan, dengan pemain dilihat berusaha membuktikan kemampuan mereka sambil menggerakkan bola dengan pantas dan mencipta pelbagai peluang.
Skuad kendalian Martinez menghasilkan 17 percubaan ke arah gol dengan lapan daripadanya tepat sasaran, selain terus menyerang sehingga ke penghujung perlawanan walaupun kemenangan sudah hampir pasti, termasuk usaha memburu hatrik buat Ronaldo yang bagaimanapun terlepas beberapa peluang.
Jurulatih itu turut memuji keupayaan Ronaldo menjaringkan gol, namun menegaskan pengalaman, etika kerja serta kesediaan pemain berusia 41 tahun itu membuka ruang buat rakan sepasukan adalah faktor yang membezakan beliau.
“Saya tidak pernah bekerja dengan pemain yang, walau apa pun berlaku hari ini, tetap mempunyai keinginan luar biasa untuk terus bekerja pada hari berikutnya,” kata Martinez.
Portugal yang mengumpul empat mata daripada dua perlawanan akan berdepan Colombia dalam aksi terakhir Kumpulan K, manakala Uzbekistan yang masih tanpa mata berada di ambang penyingkiran dan akan menentang DR Congo.
Dalam pada itu, Martinez turut meredakan kebimbangan mengenai permulaan perlahan pasukannya dalam kejohanan, sambil mengakui pengalaman lalu menunjukkan bahawa permulaan yang sukar mampu membentuk ketahanan mental untuk mengharungi kejohanan panjang.
“Ini Piala Dunia ketiga saya,” katanya.
“Pada yang pertama, saya fikir kita perlu memenangi setiap perlawanan. Kini saya sedar ia bukan begitu. Ini satu proses.” - Agensi