SEOUL: Polis Korea Selatan pada Khamis menyerbu pejabat persatuan bola sepak kebangsaan negara itu susulan dakwaan berlaku penyelewengan dalam pelantikan bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan lelaki, Hong Myung-bo, pada 2024, lapor Agensi Berita Yonhap.
Operasi serbuan dan rampasan itu dijalankan di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) di Cheonan, kira-kira 90 kilometer ke selatan Seoul, serta KFA House di tengah Seoul, sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan campur tangan tidak adil dalam pelantikan Hong pada Julai 2024.
Hong meletakkan jawatan pada penghujung Jun selepas Korea Selatan tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia FIFA.
Penyiasat polis berusaha mendapatkan dokumen KFA bagi menyiasat sama ada pegawai kanan, termasuk bekas presiden persatuan Chung Mong-kyu dan bekas pengarah teknikal Lee Lim-saeng, campur tangan dalam proses pelantikan itu.
Pengkritik mendakwa Hong dilantik sebagai ketua jurulatih tanpa melalui prosedur yang sewajarnya, manakala Lee, yang tidak mempunyai kuasa dalam urusan pelantikan jurulatih, didakwa menawarkan jawatan itu kepada Hong di sebuah kedai roti berhampiran kediamannya.
Sebelum ini, sebuah pertubuhan masyarakat telah membuat laporan terhadap Hong dan Chung atas syak wasangka menghalang tugas, pecah amanah, paksaan dan ugutan berhubung pelantikan berkenaan.
Serbuan itu dilakukan kira-kira dua tahun selepas polis memulakan siasatan, yang kembali mendapat perhatian susulan penyingkiran Korea Selatan daripada Piala Dunia baru-baru ini.
Polis telah mengambil keterangan Hong sebagai suspek dalam kes itu pada Selasa.
Pada penghujung bulan lepas, ahli Parlimen menyoal Hong dan Chung dalam satu pendengaran Parlimen berhubung pelbagai isu, termasuk pengurusan KFA dan pelantikan Hong.
-- BERNAMA-YONHAP