Skip to main content

Dunia

Ribuan peminat Cristiano Ronaldo silap 'serbu' majlis kahwin pasangan lain

Se do Funchal
Kekeliruan itu tercetus susulan khabar angin bertiup di media sosial yang mendakwa Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodríguez akan melangsungkan perkahwinan di Katedral Sé do Funchal pada Sabtu. - Gambar Facebook Sé do Funchal
Advertisement

KIRA-KIRA 2,000 peminat Cristiano Ronaldo berkumpul di luar Katedral Sé do Funchal, Madeira, Portugal pada hujung minggu lalu kerana menyangka bintang bola sepak itu bakal berkahwin dengan Georgina Rodríguez.

Namun, penantian mereka berakhir dengan kejutan apabila pasangan yang keluar dari gereja bukanlah Ronaldo dan Georgina, sebaliknya pasangan pengantin biasa, Nicole dan Fábio.

Kekeliruan itu tercetus susulan khabar angin bertiup di media sosial yang mendakwa Ronaldo dan Georgina akan melangsungkan perkahwinan di katedral berkenaan pada Sabtu.

Orang ramai mula berkumpul sekitar jam 3 petang, malah ada juga sanggup menunggu sambil mengangkat telefon untuk merakam detik bersejarah yang disangka perkahwinan ikon tersohor bola sepak itu.

"Kami rasa macam selebriti," kata seorang tetamu majlis perkahwinan berkenaan kepada pemberita akhbar tempatan.

Malah seorang anak perempuan bekas wartawan dan pengulas CNN Portugal, Helena Ferro Gouveia dilaporkan sanggup hadir daripada Jerman semata-mata untuk melihat kelibat Ronaldo, tetapi akhirnya menyaksikan perkahwinan Fábio dan Nicole.

Khabar angin mengenai perkahwinan Ronaldo dan Georgina sememangnya sudah lama bertebaran, termasuk dakwaan mereka bakal berkahwin di Sintra atau Funchal pada tarikh berbeza.

Malah, kehangatan spekulasi itu menyebabkan pihak Keuskupan Funchal terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk menjernihkan keadaan selepas kawasan sekitar katedral dipenuhi wartawan dan pelancong.

Pada waktu ini, peminat Cristiano Ronaldo masih perlu bersabar untuk melihat idola mereka menaiki pelamin.

Bagi Fábio dan Nicole pula, mereka kini mempunyai satu kisah perkahwinan yang cukup luar biasa iaitu majlis mereka secara tidak sengaja ‘dihadiri’ ribuan peminat Cristiano Ronaldo.

Must Watch Video

Advertisement