WASHINGTON: Pasukan bola sepak kebangsaan Iran, yang kini menjalani latihan di Tijuana, Mexico, akan dibenarkan memasuki Amerika Syarikat (AS) sehari sebelum setiap daripada tiga perlawanan Piala Dunia mereka, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) pada Selasa.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan media pada hujung minggu lalu yang memetik Duta Iran ke Mexico, Abolfazl Pasandideh mendakwa, pasukan Iran perlu masuk dan keluar dari Amerika Syarikat pada hari yang sama mereka beraksi, sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan logistik dan kemungkinan menjejaskan prestasi pasukan.
Jurucakap DHS bagaimanapun menegaskan, dakwaan itu tidak tepat, sambil menyatakan Iran tidak dipaksa memasuki negara itu pada hari perlawanan berlangsung.
“Kenyataan tersebut adalah tidak benar. Hasil kelonggaran yang diberikan Presiden (Donald) Trump, pasukan Iran dibenarkan tiba sehari sebelum perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasandideh ketika ditemui di Tijuana menerusi jurubahasa pada Isnin mengkritik pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana menolak visa kepada sebahagian pegawai Persekutuan Bola Sepak Iran.
Namun, beliau menjelaskan visa yang diluluskan kepada anggota lain tidak menghalang mereka bermalam di negara itu.
“Tiada syarat dalam visa yang menyatakan mereka perlu keluar pada waktu tertentu,” katanya.
Selepas beberapa minggu ketidaktentuan, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu akhirnya meluluskan visa kepada semua pemain, kira-kira 10 hari sebelum perlawanan pertama mereka.
Bagaimanapun, beberapa anggota skuad Iran tidak diberikan visa, termasuk pegawai pengurusan dan pentadbiran utama, menurut Persekutuan Bola Sepak Iran.
Antara yang terlibat ialah pengurus pasukan, dua penganalisis pasukan, pengarah media dan wakil Kementerian Luar.
Iran dijadual menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun, diikuti Belgium di lokasi sama pada 21 Jun, sebelum bertemu Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Skuad itu pada asalnya dijadual menjalani latihan di Arizona, namun perancangan tersebut diubah susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang tercetus pada Februari lalu.
Pada Mac, Presiden Donald Trump menyatakan Iran dialu-alukan untuk menyertai Piala Dunia, namun beliau berpendapat, tidak sesuai bagi pasukan itu tinggal lama di Amerika Syarikat atas faktor keselamatan. - Agensi