Skip to main content

Dunia

UEFA boikot kejohanan FIFA, bantah cadangan jual pegangan Piala Dunia

Silhouettes depicting FIFA President Gianni Infantino and UEFA President Aleksander Ceferin are seen next to text that reads "UEFA Boycott" in this illustration taken July 30, 2026. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration Purchase Licensing Rights
Dalam satu kenyataan, UEFA menegaskan Piala Dunia adalah milik sukan bola sepak dan tidak sepatutnya dijadikan aset untuk dijual kepada pelabur.
Advertisement

BEBERAPA negara Eropah bersetuju untuk memboikot semua kejohanan anjuran FIFA, termasuk Piala Dunia, sebagai tanda bantahan terhadap cadangan Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang mahu menjual pegangan dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia itu kepada pelabur ekuiti swasta.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan keputusan itu selepas mengadakan mesyuarat tergempar secara dalam talian yang disertai oleh 55 negara anggotanya pada Khamis.

Menurut UEFA, semua persatuan bola sepak di bawah naungannya tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang pertandingan FIFA selagi isu berkenaan tidak diselesaikan.

Dalam satu kenyataan, UEFA menegaskan Piala Dunia adalah milik sukan bola sepak dan tidak sepatutnya dijadikan aset untuk dijual kepada pelabur.

Sementara itu, Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) yang mewakili 41 negara turut menolak cadangan Infantino selepas mengadakan mesyuarat pada hari yang sama.

CONCACAF memaklumkan ahlinya bimbang dengan proses cadangan tersebut yang disifatkan tidak telus, tempoh membuat keputusan yang terlalu singkat serta ketiadaan semakan dan kelulusan daripada badan tadbir urus FIFA.

Malah, badan itu turut mempersoalkan keperluan mendapatkan pelaburan luar memandangkan Piala Dunia FIFA yang lalu merupakan kejohanan paling menguntungkan dalam sejarah.

Sebelum ini, Infantino dilaporkan menawarkan pembayaran sebanyak AS$20 juta kepada setiap daripada 211 ahli FIFA sebagai sebahagian daripada pelan berkenaan, dengan tarikh akhir penerimaan ditetapkan pada pertengahan September.

Kejohanan FIFA yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat ialah Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun di Poland bermula 5 September ini. 

Selain itu, empat persatuan bola sepak Britain kini merupakan satu-satunya pembida bagi penganjuran Piala Dunia Wanita 2035, dengan keputusan dijangka diumumkan pada 23 November nanti.

 

 

Must Watch Video

Advertisement