Skip to main content

Dunia

Vondrousova dihukum gantung empat tahun kerana enggan jalani ujian salah guna dadah

FILE PHOTO: Tennis - Wimbledon - All England Lawn Tennis and Croquet Club, London, Britain - July 15, 2023 Czech Republic's Marketa Vondrousova celebrates with the trophy winning her final match against Tunisia’s Ons Jabeur REUTERS/Andrew Couldridge/File Photo
Vondrousova tidak dibenarkan bermain, melatih atau menghadiri mana-mana acara yang dianjurkan atau diiktiraf oleh ITF, WTA, ATP, Grand Slam atau mana-mana persatuan kebangsaan sehingga 21 Jun 2030. - Gambar fail Reuters
Advertisement

LONDON: Juara perseorangan Wimbledon 2023, Marketa Vondrousova digantung daripada sukan tenis selama empat tahun kerana enggan menjalani ujian salah guna dadah, lapor PA Media/dpa.

Satu tribunal bebas merumuskan bahawa "tiada justifikasi kukuh" bagi pemain Republik Czech berusia 26 tahun itu untuk tidak menyerahkan sampel apabila dimaklumkan oleh pegawai kawalan salah guna dadah,  di luar pertandingan dan di rumahnya, pada malam 3 Disember 2025.

Vondrousova tidak dibenarkan bermain, melatih atau menghadiri mana-mana acara yang dianjurkan atau diiktiraf oleh ITF, WTA, ATP, Grand Slam atau mana-mana persatuan kebangsaan sehingga 21 Jun 2030.

Ketua Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA), Karen Moorhouse berkata: “Kami faham bahawa proses ujian ini tidak selesa, dan mengakui bahawa ia merupakan beban tambahan bagi pemain yang kerjayanya sememangnya disertakan dengan tekanan dan penelitian yang tinggi, namun ia adalah penting untuk melindungi persaingan yang adil.

“Ujian yang tidak dapat diramal adalah alat penting untuk melindungi sukan yang bersih.

“Tribunal bebas akhirnya menyokong prinsip berkenaan. Kes ini adalah peringatan penting bahawa pemain boleh diuji pada bila-bila masa, di mana-mana tempat dan keengganan untuk berbuat demikian mendatangkan risiko yang besar.”

Menurut kenyataan ITIA, Vondrousova, yang pernah mencapai kedudukan ranking perseorangan dunia tertinggi dalam kerjayanya di tempat keenam pada September 2023, mendakwa semasa perbicaraan bahawa “tekanan dan kesihatan mental yang lemah menjejaskan proses membuat keputusannya, di samping kebimbangan terhadap keselamatannya”.

Menurut kenyataan itu lagi: “Tribunal mempertimbangkan perkara ini dalam keputusan mereka, serta keterangan daripada Pegawai Kawalan Doping yang cuba menjalankan ujian berkenaan dan merumuskan  bukti yang dikemukakan 'tidak menunjukkan justifikasi kukuh' atas tindakan enggan diuji itu.”

Vondrousova, serta ITIA dan Organisasi Kawalan Salah Guna Dadah Kebangsaan, mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement