Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Emas keenam! Sivasangari pastikan sasaran kontinjen Malaysia di Aichi-Nagoya tercapai

NAGOYA , 27 Sept - Atlet skuasy negara Ng Eain Yow dan S. Sivasangari menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara skuasy perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya Kinjo Futo Arena hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ng Eain Yow dan S. Sivasangari menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara skuasy perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PEMAIN skuasy negara, S. Sivasangari, tampil cemerlang apabila menewaskan wakil India, Anahat Singh, pada aksi final perseorangan wanita Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menghadiahkan pingat emas keenam buat kontinjen Malaysia.

Kejayaan itu turut melayakkannya secara automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Sivasangari mempamerkan aksi dominan sejak awal perlawanan apabila menguasai gelanggang dan tidak memberi banyak ruang kepada lawannya untuk mencabar.

Dia memenangi set pertama dengan keputusan 11-4 sebelum mengulangi skor yang sama pada set kedua untuk berada hanya selangkah daripada pingat emas.

Anahat cuba menghidupkan peluang pada set ketiga, namun ketenangan dan pengalaman Sivasangari membolehkannya mengawal rentak permainan sebelum melengkapkan kemenangan 11-7.

Kemenangan straight-set 3-0 itu mengesahkan pingat emas menjadi milik Malaysia.

Kejayaan Sivasangari melengkapkan hari gemilang skuasy negara selepas Ng Eain Yow terlebih dahulu menjuarai acara perseorangan lelaki.

Justeru, Malaysia menutup saingan perseorangan skuasy dengan cemerlang menerusi dua pingat emas daripada dua acara yang dipertandingkan, masing-masing menerusi Eain Yow dalam kategori lelaki dan Sivasangari dalam kategori wanita.

Lebih manis, emas yang diraih Sivasangari merupakan emas keenam kontinjen negara di Aichi-Nagoya, sekali gus memastikan sasaran yang ditetapkan berjaya direalisasikan.

Kini, tumpuan pemain itu beralih kepada pentas yang lebih besar.

Skuasy bakal membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik dan Sivasangari kini sudah mengesahkan tempat ke Los Angeles 2028 untuk memburu kejayaan di pentas sukan terbesar dunia itu.

Dari Aichi-Nagoya ke Los Angeles, Sivasangari bukan sekadar mencipta kejayaan di Sukan Asia, malah kini membawa harapan serta impian Olimpik Malaysia. - Stadium Astro

Must Watch Video

Advertisement