KOTA KINABALU: Sabah FC secara rasmi melantik bekas Ketua Jurulatih Skuad B-23 Kebangsaan Juan Torres Garrido sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan itu.
Pelantikan pengendali kelahiran Sepanyol itu diumumkan Pengurus Sabah FC Mohd Arziz Afizy, hari ini.
Advertisement
Menurut Arziz, Juan Torres mengambil alih tugas daripada Alto Linus yang sebelum ini menggalas peranan sebagai Pemangku Ketua Jurulatih susulan perletakan jawatan Jean-Paul de Marigny pada Disember lepas. Alto kini kembali menjalankan tugas sebagai Penolong Ketua Jurulatih.
"Juan Torres akan memulakan tugas rasminya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Sabtu ini," katanya.
Arziz berkata pengalaman Juan Torres mengendalikan skuad B-23 negara serta pengetahuannya mengenai Liga Malaysia menjadi antara faktor utama pemilihannya.
Beliau yakin kehadiran jurulatih baharu itu mampu membawa perubahan positif kepada pasukan, khususnya dalam usaha memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
"Fokus utama kami juga adalah untuk mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran MFL 2025-2026," katanya.
Selain itu, Arziz berharap para pemain dapat memberikan komitmen sepenuhnya, menunjukkan disiplin tinggi, dan cepat menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan yang diperkenalkan.
"Dengan semangat berpasukan yang kukuh dan kesungguhan semua pihak, saya yakin Sabah FC mampu mencapai keputusan yang lebih baik selepas ini," katanya.
Sabah FC kini menduduki tangga ke-11 Liga Super dengan 14 mata selepas 15 perlawanan.
-- BERNAMA