KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berusaha menyelaraskan sistem pemulihan dan rehabilitasi atlet negara menerusi pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan aspek kesihatan serta kesiapsiagaan mendapat perhatian sewajarnya sebelum kembali bertanding.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata usaha itu adalah sebahagian daripada langkah memperkukuh ekosistem sokongan atlet negara, khususnya menerusi peranan sains sukan dan perubatan sukan.
Beliau berkata KBS juga membangunkan garis panduan berkaitan perkara berkenaan baru-baru ini bagi membantu memperkemas pengurusan fasa pemulihan serta sokongan terhadap atlet.
“Kami sentiasa mempunyai satu sistem dan kami ingin menyelaraskan sistem itu, serta membentuk satu ekosistem yang menyeluruh. Ini juga terpakai kepada semua atlet dan kami telah membangunkan garis panduan berkaitan perkara itu baru-baru ini.
“Diharapkan dengan adanya langkah seperti ini, atlet-atlet kita akan lebih diselaraskan lagi dan fasa pemulihan serta sokongan terhadap atlet melalui sains sukan dapat diperkemaskan,” katanya ketika ditanya adakah KBS bercadang menyeragamkan protokol rehabilitasi atlet negara bagi memastikan mereka kembali bertanding berdasarkan penilaian perubatan, bukan tekanan mengejar kejayaan.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ahli Lembaga Perubatan Sukan dan Sains Sukan, serta Pelancaran Performance Psychology & Wellness Centre dan High Performance Rehabilitation Centre Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil di sini hari ini.
Dr Mohammed Taufiq ketika mengulas mengenai keperluan memperkukuh peranan pakar perubatan sukan dalam menentukan tahap kesiapsiagaan atlet untuk kembali bertanding tanpa dipengaruhi tekanan pencapaian berkata kepentingan perbincangan bersama semua pihak sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Sebab itu kami mengadakan perbincangan demi perbincangan antara ISN, jurulatih dan sebagainya. Pada akhirnya, kami inginkan satu keputusan yang baik dan satu keputusan yang menyeluruh. Sebab itu pemerkasaan melalui ISN itu adalah amat-amat penting sekali,” katanya.
Dalam arena sukan berprestasi tinggi, terdapat atlet yang meneruskan latihan atau pertandingan meskipun berdepan kecederaan, sekali gus memperlihatkan kepentingan pengurusan kecederaan dan proses pemulihan yang teliti bagi mengurangkan risiko komplikasi lanjut.
Keadaan itu turut menekankan keperluan penilaian perubatan yang menyeluruh sebelum seseorang atlet dibenarkan kembali bertanding bagi memastikan tahap kesihatan dan kesiapsiagaan fizikal mereka tidak terjejas dalam usaha mencapai prestasi terbaik.
Terdahulu, ISN memperkukuh perkhidmatan perubatan dan sains sukan menerusi pelantikan ahli Lembaga Perubatan Sukan dan Sains Sukan serta pelancaran Performance Psychology & Wellness Centre dan High Performance Rehabilitation Centre yang dinaik taraf.
Inisiatif itu antaranya bertujuan meningkatkan sokongan pemulihan kecederaan, kesejahteraan dan kesiapsiagaan atlet melalui pendekatan bersepadu berasaskan sains sukan bagi membantu mereka kembali menjalani latihan dan pertandingan dengan selamat.
Lembaga Perubatan Sukan dan Sains Sukan dipengerusikan Datuk Seri Dr Zulkharnain Ismail dengan Ketua Pegawai Eksekutif ISN Dr Vellapandian Ponnusamy sebagai ahli institut, selain dibarisi pakar dalam pelbagai disiplin perubatan dan sains sukan.
Ditubuhkan menurut Seksyen 17(1), Akta Institut Sukan Negara 2011 [Akta 729], lembaga itu memainkan peranan penting dalam menyokong standard profesional, akauntabiliti dan pembangunan kedua-dua bidang berkenaan sejajar dengan keperluan sukan berprestasi tinggi yang semakin berkembang.
-- BERNAMA