Skip to main content

Malaysia

Kepulangan F1 ke Sepang semarak minat generasi muda terhadap sukan permotoran

F1 SEPANG
Kepulangan Formula 1 ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas hampir sembilan tahun bukan sekadar mengubati kerinduan peminat sukan permotoran, malah dijangka menyemarakkan minat generasi muda terhadap dunia perlumbaan serta bidang berkaitan teknologi dan kejuruteraan. - Gambar hiasan Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kepulangan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas hampir sembilan tahun bukan sekadar mengubati kerinduan peminat sukan permotoran, malah dijangka menyemarakkan minat generasi muda terhadap dunia perlumbaan serta bidang berkaitan teknologi dan kejuruteraan.

Wakil kumpulan Facebook F1 Club Malaysia, Syed Ahmad Ziman Syed Jaafar berkata, minatnya terhadap F1 kekal utuh, biarpun kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

“Golongan muda, termasuk peminat wanita semakin mengenali dan meminati F1 menerusi dokumentari Drive to Survive serta media sosial. Walaupun cara berinteraksi berubah, minat terhadap F1 tetap tidak pernah pudar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kepulangan perlumbaan itu ke Sepang memberi peluang kepada generasi muda untuk merasai sendiri pengalaman di litar, selain menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi minat yang sama.

“Saya turut menjangkakan ramai ibu bapa yang pernah menyaksikan perlumbaan itu di Sepang suatu ketika dahulu, mahu membawa anak-anak mereka menyaksikan perlumbaan itu, bukan sekadar menonton aksi di litar tetapi berkongsi pengalaman antara dua generasi,” katanya.

Syed Ahmad berkata, kepulangan F1 turut berpotensi membuka mata generasi muda terhadap pelbagai peluang kerjaya dalam industri sukan permotoran termasuk kejuruteraan, teknologi automotif, analisis data, penyiaran, pengurusan acara dan media.

Walaupun aktif mengikuti F1 dan mengendalikan kelab peminat yang ditubuhkan sejak 2007 dan kini mempunyai 11,000 ahli daripada pelbagai peringkat umur, beliau mengakui belum pernah berpeluang menyaksikan F1 secara langsung.

“Selama ini saya hanya mengikuti F1 menerusi kaca televisyen. Penganjuran di Litar Antarabangsa Sepang pada Oktober ini bakal menjadi pengalaman pertama saya menyaksikannya secara langsung dan saya benar-benar teruja menantikannya," katanya.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Kewartawanan di sebuah universiti awam, Siti Sarah Abu Kassim, 22, berkata, kepulangan F1 ke Malaysia memberi peluang kepadanya menyaksikan perlumbaan itu secara langsung buat kali pertama di negara sendiri.

Beliau yang mula meminati F1 sejak berusia 11 tahun hasil pendedahan bapanya berkata walaupun pernah menyaksikan Formula 1 Singapore Grand Prix tahun lepas, pengalaman menyaksikan perlumbaan di Sepang pastinya menjanjikan pengalaman yang lebih bermakna.

“Saya pasti akan pergi kerana mahu merasai pengalaman itu di negara sendiri. Saya juga teruja melihat bagaimana teknologi baharu F1 berdepan cabaran cuaca di Sepang, yang terkenal dengan perubahan cuaca secara tiba-tiba,” katanya.

Beliau berkata, sukan permotoran berprestij itu bukan sekadar menawarkan aksi perlumbaan, malah mendorongnya untuk memahami perkembangan teknologi automotif serta inovasi yang akhirnya diaplikasikan pada kenderaan kegunaan harian.

Bagi peminat sukan permotoran Mohd Faizal Ibrahim, 42, kepulangan perlumbaan itu mengimbau kenangannya yang pernah bertugas sebagai marshal di SIC, ketika Malaysia masih menjadi tuan rumah.

Beliau turut merancang membawa ahli keluarga menyaksikan perlumbaan itu agar anak-anaknya dapat merasai sendiri suasana F1 dan melihat dengan lebih dekat teknologi serta jentera perlumbaan bertaraf dunia.

“Saya tidak mahu melepaskan peluang ini kerana kita tidak tahu bila F1 akan kembali lagi ke Sepang. Saya harap penganjuran F1 dapat diteruskan (dikekalkan) pada masa hadapan, agar lebih ramai generasi muda berpeluang mengenali sukan permotoran dan industri di sebaliknya,” katanya.

Ahad lepas, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain susulan perjanjian yang dimeterai antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Penganjuran semula perlumbaan itu yang akan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Okt ini, dijangka memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, pembangunan infrastruktur, pelancongan serta liputan media antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement