SHAH ALAM: Beberapa laluan di sekitar Shah Alam akan ditutup sementara bagi memberi laluan peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang bermula pada Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata perlumbaan bermula pada 11 pagi dan jalan terlibat ditutup sepenuhnya bermula 10.45 pagi sebelum dibuka secara berperingkat dalam tempoh satu jam kemudian.
Beliau berkata perlumbaan bermula dari Radia Arena, Persiaran Tebar Layar, Bukit Jelutong sebelum melalui Persiaran Gerbang Utama, Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Paip, Jalan Bukit Cerakah dan ke Jalan Sentosa (sempadan trafik Shah Alam-Klang Utara).
“Jalan yang terlibat ialah Persiaran Gerbang Utama, Jalan Bazar U8/101, Bulatan Persiaran Balairung, Persiaran Mimbar, Jalan Serambi U8/21, Jalan Ubin U8/19, Jalan Birai U8/54 dan Jalan Lelangit U8/45,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sarudin berkata yang turut terlibat ialah Lebuhraya Guthrie, Jalan Sungai Buloh, Persiaran Mokhtar Dahari, Sunway Kayangan, Cahaya SPK, Lebuhraya DASH serta kawasan Perdana Heights dan Sunway Alam Suria.
Penutupan jalan turut melibatkan laluan sekitar Alam Budiman, Greenhills, Jalan Paip, sepanjang Jalan Bukit Cerakah dan laluan Jalan Sentosa di sempadan trafik Shah Alam-Klang Utara.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru pengguna jalan raya supaya memberi kerjasama dengan mematuhi arahan petugas di lapangan serta sentiasa berhati-hati ketika memandu.
“Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada melalui kawasan yang terlibat jika tiada keperluan mendesak bagi mengurangkan kesesakan dan kelewatan perjalanan sepanjang tempoh penutupan,” katanya.
-- BERNAMA