KUALA LUMPUR: Malaysia dan Bahrain membincangkan kerjasama yang boleh dipertingkatkan dalam menangani keganasan dan ekstremisme, perkongsian risikan, penguatkuasaan dan pengesanan dadah, serta pengurusan dan keselamatan sempadan bagi membanteras ancaman rentas negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan dua hala beliau bersama Menteri Dalam Negeri Kerajaan Bahrain General Shaikh Rashid Abdulla Al Khalifa di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.
Beliau berkata pertemuan di luar Kongres Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-15 Mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah itu, menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan yang berteraskan nilai bersama, rasa saling menghormati serta komitmen terhadap keamanan.
“Antara perkara utama yang turut dibincangkan ialah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Okt 2026.
“Malaysia berbesar hati menerima Bahrain serta komuniti sukan permotoran antarabangsa ke Sepang. Penganjuran acara berprestij ini bukan sekadar mengenai sukan permotoran, malah menjadi jambatan yang dapat memperkukuh hubungan baik dan ikatan antara rakyat Malaysia dengan Bahrain,” katanya menerusi hantaran Facebook, pada Sabtu.
Saifuddin Nasution berkata bagi memastikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix berlangsung dalam persekitaran yang selamat, lancar dan mesra kepada peserta, pegawai serta pengunjung, sebanyak kira-kira 700 anggota keselamatan dan pengurusan trafik akan ditempatkan sepanjang acara.
Selain itu, beliau berkata laluan khas imigresen di lapangan terbang untuk kru pasukan dan petugas bertauliah turut disediakan serta memudahkan urusan visa bagi warganegara asing yang mahu menghadirinya.
“Pertemuan itu turut menyentuh secara ringkas mengenai perkembangan Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama dalam Mencegah dan Membanteras Jenayah Rentas Negara antara Malaysia dan Bahrain yang sedang melalui proses antara kedua-dua negara, sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama keselamatan secara lebih tersusun untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata Malaysia menghargai Bahrain sebagai rakan dalam memelihara ketenteraman awam dan keamanan antarabangsa.
“Saya berharap momentum ini dapat diteruskan pada peringkat teknikal dan diterjemahkan kepada hasil kerjasama keselamatan yang nyata untuk kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA