KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Mohd Nafuzi Zain mahu anak buahnya bangkit daripada kekecewaan dan memberikan tumpuan pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA bertemu DPMM FC di Stadium Hassanal Bolkiah, Brunei malam esok.
Bekas jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu berkata kekalahan besar 0-3 di tangan Selangor FC pada perlawanan kedua Liga Super di laman sendiri pada Jumaat lepas sememangnya perit dan memberikan impak kepada semangat serta motivasi pemain.
Bagaimanapun, katanya, pemain perlu menguatkan keazaman dan tampil dengan aksi lebih bertenaga serta berdisplin bagi membawa pulang bekalan selesa dari gelanggang lawan.
"Saya jangkakan pertemuan yang sukar kerana DPMM FC ialah pasukan yang berbeza musim ini berbanding musim sebelumnya. Musim ini, DPMM FC berwajah baharu dengan barisan import berkualiti dan mantap.
"Tambahan pula aksi pertama di tempat lawan. Sudah pasti mereka mempunyai kelebihan dan akan berusaha mencari seberapa banyak gol untuk dibawa ke Terengganu pada 9 Sept nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada masa sama, pengendali kelahiran Kelantan itu turut mengingatkan pemain agar tidak mengulangi kesilapan mudah yang boleh menyebabkan mereka dihukum dengan jaringan pihak lawan.
Beliau berkata setakat ini, semua pemain bebas daripada kecederaan dan sedia untuk diturunkan pada perlawanan berkenaan.
"Untuk kesebelasan utama mungkin ada sedikit perubahan, tetapi saya masih memikirkan gandingan yang sesuai … mungkin malam ini.
"Yang lebih penting, pemain perlu lebih tenang dan memberikan 100 peratus fokus bagi memastikan kita membawa pulang seberapa banyak gol untuk bekalan di tempat sendiri nanti serta bagi menebus kekecewaan pada perlawanan lepas," katanya.
-- BERNAMA