KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan membanggakan meraih lima pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2026, skuad angkat berat negara kini berdepan cabaran besar susulan tempoh persiapan yang singkat menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, bulan depan.
Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Amirul Hamizan Ibrahim berkata tempoh persediaan menjadi cabaran memandangkan barisan atlet negara masih belum kembali berlatih sejurus tamat saingan di Glasgow.
Beliau berkata kekangan peraturan di venue pertandingan yang tidak membenarkan latihan selepas tamat acara menyebabkan momentum latihan atlet terganggu, sekali gus mengundang risiko jika dipaksa beraksi di Jepun tanpa persediaan rapi.
"Untuk angkat berat, tempoh 47 hari sebenarnya tidak cukup. Apabila kita berhenti latihan lebih daripada tiga atau empat hari, kita sebenarnya kena bermula semula dari kosong.
"Atlet tak boleh datang latihan hari ini dan esok terus nak angkat bebanan berat kerana ia akan mengundang kecederaan. Nak dapatkan semula tahap kecergasan itu mengambil masa yang panjang," katanya baru-baru ini.
Pengurus pasukan Glasgow 2026 itu berkata buat masa ini, empat atlet disenaraikan untuk ke Aichi-Nagoya melibatkan dua atlet Kategori A, iaitu Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin manakala Muhammad Erry Hidayat serta Muhamad Syahmi Nor Ghazali dalam Kategori B.
"Saya perlu berbincang semula dengan atlet dan PABM. Saya tidak mahu paksa atlet jika mereka tidak bersedia sepenuhnya kerana bimbang mereka tidak dapat memberikan persembahan terbaik.
"Di Glasgow, taktikal kita lebih kepada mengejar pingat emas dan bukannya catatan peribadi atau rekod kebangsaan," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan tumpuan utama skuad negara akan beralih kepada kelayakan Sukan Olimpik memandangkan kategori berat badan baharu akan diperkenalkan Ogos ini.
Sukan Asia 2026 dijadual berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun bermula 19 Sept hingga 4 Okt.
Sebagai rekod, lima pingat emas skuad angkat berat disumbangkan di Glasgow 2026 oleh Mohamad Aniq dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki, Muhamad Aznil (65kg lelaki), Muhammad Erry (79kg lelaki), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg lelaki) dan Mohamad Syahmi (94kg lelaki).
-- BERNAMA