Skip to main content

Malaysia

Pasukan pickleball remaja Malaysia raih tiga pingat di Da Nang

[TB]_SUKAN, PICKLEBALL MALAYSIA_ASTRO AWANI
Penyertaan di Da Nang turut menjadi sebahagian daripada usaha E23 membangunkan generasi baharu pemain pickleball Malaysia menerusi latihan berstruktur, penyertaan dalam kejohanan kompetitif serta pendedahan antarabangsa. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemain pickleball remaja Malaysia mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih tiga pingat pada Kejohanan Pickleball Antarabangsa 2026 – Edisi Piala Dunia di Da Nang, Vietnam.

Skuad negara membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa menerusi saingan kategori remaja yang menyaksikan penyertaan pemain dari beberapa negara.

Pingat perak diraih Dzarif Dzakwan daripada Skuad Remaja Kebangsaan dalam acara perseorangan lelaki bawah 18 tahun (BU18).

Sementara itu, gandingan Brandon Basas dan Ethan Chan Kah Jun daripada E23 Junior Pro Pickleball Team meraih gangsa bagi acara beregu lelaki bawah 16 tahun (BU16).

Satu lagi pingat gangsa disumbangkan pasangan Raessa dan Kim Nardine Marisse dalam acara beregu perempuan bawah 10 tahun (GU10).

Pemain muda negara yang beraksi di bawah E23 Junior Pro Pickleball Team dibimbing jurulatih Gee Ci Long, yang turut mengendalikan skuad kebangsaan Malaysia.

Kejohanan itu menyaksikan pemain Malaysia dalam lingkungan usia bawah 10 hingga bawah 16 tahun berdepan saingan sengit, khususnya daripada pemain Vietnam dan India.

Selain pemenang pingat, beberapa pemain E23 turut mara ke peringkat kalah mati dengan masing-masing berjaya melangkah sehingga pusingan 32 terbaik, 16 terbaik dan suku akhir.

Gandingan beregu perempuan bawah 12 tahun pula menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas tipis kepada pasangan Vietnam dalam perebutan kedudukan podium.

Pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif bakat muda pickleball negara, selain memberi pendedahan dan pengalaman di pentas antarabangsa kepada pemain untuk bersaing dengan antara bakat remaja terbaik di rantau ini.

Penyertaan di Da Nang turut menjadi sebahagian daripada usaha E23 membangunkan generasi baharu pemain pickleball Malaysia menerusi latihan berstruktur, penyertaan dalam kejohanan kompetitif serta pendedahan antarabangsa.

Must Watch Video

Advertisement