Skip to main content

Malaysia

Piala ASEAN: Tiga mata ke atas Laos lonjak keyakinan Harimau Malaya hadapi Thailand - Cheng Hoe

Sumber: BERNAMA
Pemain Malaysia, Endrick Dos Santos Parafita cuba merembat bola ke gawang lawan sambil diasak oleh dua pemain Laos pada perlawanan Kumpulan B Piala Hyundai ASEAN 2026 antara Malaysia menentang Laos di Stadium bolasepak Kuala Lumpur. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Laos menyuntik keyakinan dan semangat kepada pasukan untuk menghadapi cabaran lebih getir menentang juara tujuh kali, Thailand pada perlawanan Kumpulan B Piala ASEAN 2026, Sabtu ini.

Ketua jurulatih sementara, Tan Cheng Hoe berkata, tiga mata yang dikutip pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam ini sangat penting bagi membantu skuad Harimau Malaya mengekalkan momentum, di samping membina keserasian dalam kalangan pemain sebagai persiapan menghadapi pertembungan di Stadium Rajamangala, Bangkok itu.

“Sebagai jurulatih, saya sangat gembira dengan keputusan ini. Kami terus mengekalkan momentum dan mengembalikan keserasian dalam pasukan.

“Sudah tentu kami masih mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan prestasi pasukan. Pada masa sama, kami mempunyai masa dua hari lagi untuk membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang Thailand,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Cheng Hoe turut mengakui Malaysia akan berdepan cabaran yang berbeza apabila menentang Thailand, sebuah pasukan yang dibarisi pemain berkualiti serta memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Cheng Hoe ketika mengulas mengenai perlawanan menentang Laos semalam berkata, Malaysia berdepan kesukaran pada separuh masa pertama apabila lawan bertahan dengan baik dan berjaya menghalang pasukan tuan rumah daripada memperoleh jaringan awal.

Beliau bagaimanapun berkata, gol pembukaan menerusi kapten Paulo Josue pada penghujung babak pertama memberikan keyakinan kepada Malaysia untuk meningkatkan permainan selepas rehat, sebelum pasukan itu menambah tiga lagi gol bagi melakar kemenangan yang meyakinkan.

Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, G. Pavithran menzahirkan penghargaan di atas sokongan rakan sepasukan, khususnya pemain berpengalaman yang membantunya meningkatkan keyakinan selepas melakukan dua bantuan gol dalam kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Laos.

Pemain sayap muda itu turut berharap rakan sepasukannya akan terus memberi tumpuan untuk meraih tiga mata lagi ketika menentang Thailand, sekali gus mencerahkan peluang mereka mara ke separuh akhir.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Laos, Vladica Grujic kesal dengan kegagalan anak buahnya menyempurnakan dua peluang terbaik pada separuh masa pertama dan yakin perlawanan itu mungkin berbeza sekiranya peluang berkenaan berjaya disudahkan.

Jurulatih berusia 63 tahun itu turut memuji kepantasan serta pergerakan pemain Malaysia di belakang garisan pertahanan yang sentiasa memberikan tekanan kepada benteng pertahanan pasukannya sehingga mereka memboloskan empat gol malam ini.

Malaysia kini menerajui Kumpulan B dengan enam mata, diikuti Thailand dan Myanmar yang masing-masing mengumpul tiga mata manakala Filipina dan Laos masih belum meraih sebarang mata.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement