Skip to main content

Malaysia

Piala Lee Chong Wei bakal ke peringkat global tahun hadapan

KUALA LUMPUR, 6 Sept - Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei bercakap pada sidang media selepas Perlawanan Akhir Kejohanan Piala Lee Chong Wei 2026 di Stadium Juara, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Chong Wei bercakap pada sidang media selepas Perlawanan Akhir Kejohanan Piala Lee Chong Wei 2026 di Stadium Juara, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei merancang untuk mengembangkan kejohanan Piala Lee Chong Wei yang baru dianjurkannya, menjadi sebuah kejohanan bertaraf antarabangsa pada tahun hadapan.

Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia itu berkata beliau menyasarkan untuk mendapatkan kelulusan daripada Badminton Asia untuk penganjuran peringkat antarabangsa, di samping terus menjalankan edisi tempatan.

“Saya telah pun merancang dua kejohanan untuk tahun depan, satu (pada peringkat) tempatan dan satu antarabangsa...Yang kedua itu akan menjadi kejohanan antarabangsa.

“Kami kini sedang mencari slot masa dan memohon kelulusan daripada Badminton Asia. Kami perlu menetapkan tarikh dengan teliti, kerana saya tidak mahu ia bertembung dengan kejohanan remaja lain di Indonesia atau di tempat lain,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir Piala Lee Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Pemenang pingat perak perseorangan lelaki Sukan Olimpik tiga kali itu juga berkata bahawa jurulatih kebangsaan, telah memantau rapat sepanjang acara tersebut untuk mencungkil bakat yang berpotensi bagi ujian pemilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada akhir tahun ini.

Bagaimanapun, Chong Wei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM berkata pemilihan tidak akan terhad kepada para peserta yang layak ke perlawanan akhir hari ini sahaja.

“Bukan sekadar mereka yang mara ke peringkat akhir atau separuh akhir, malah seseorang yang mara ke suku akhir juga mungkin mempamerkan bakat dan dipanggil.

"Walaupun mereka kalah pada peringkat awal, jika kami melihat ada bakat, kami mungkin memanggil mereka untuk pemilihan bagi melihat sejauh mana perkembangan mereka dalam sesi latihan di BAM,” katanya.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang berusia 43 tahun itu juga, berpuas hati dengan sambutan luar biasa terhadap kejohanan sembilan hari tersebut, yang berjaya menarik penyertaan lebih 2,200 peserta remaja dari seluruh negara merangkumi tiga kategori iaitu bawah 13, bawah 15 dan bawah 17 tahun.

Piala Lee Chong Wei yang julung-julung kali diadakan itu,  yang bermula pada 29 Ogos dan berakhir hari ini menawarkan jumlah keseluruhan hadiah terkumpul sebanyak RM104,000.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement