HORSENS, DENMARK: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen berpendapat, skuad muda Malaysia perlu lebih bertanggungjawab terhadap kemajuan karier mereka susulan kempen Final Piala Uber 2026, di sini.
Menilai semula prestasi keseluruhan Malaysia khususnya ketika menentang pasukan China dan Jepun, Jonassen berkata, peningkatan perlu hadir dari dalam diri pemain itu sendiri bukan hanya bergantung semata-mata kepada jurulatih.
Advertisement
Meskipun aksi menentang lawan bertaraf dunia memberikan pengajaran yang amat berharga, beliau turut menegaskan bahawa pemain perlu refleksi diri dan respons.
“Peluang untuk bermain menentang pemain bertaraf dunia sebenar, seperti bertemu Jepun dan China hari ini adalah pengalaman yang perlu dijadikan iktibar.
“Sebagai pemain, anda perlu belajar daripada pengalaman itu dan mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki. Jangan hanya tunggu jurulatih beritahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Perjalanan Malaysia dalam Final Piala Uber 2026 berakhir selepas tersingkir di tangan juara bertahan, China dengan keputusan 0-3.
Ini penampilan suku akhir keempat Malaysia dalam kejohanan itu, menyamai pencapaian terbaik mereka pada edisi 2004, 2008 dan 2010.
Skuad negara memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan 3-2 ke atas Turkiye sebelum menang ke atas Afrika Selatan 5-0 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.
Mereka menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan B selepas tewas 1-4 kepada juara enam kali, Jepun.
Dalam pada itu, Jonassen berkata, pendedahan itu sewajarnya menguatkan lagi keyakinan pemain bahawa mereka mampu bersaing pada peringkat tertinggi.
“Kepercayaan dan keyakinan terhadap kemampuan sendiri amat penting, tetapi pada masa sama perlu sentiasa bersemangat untuk memperbaiki kelemahan diri.
“Jangan anggap yang saya (pemain) akan bertambah baik seiring dengan peredaran masa. Tidak, sebaliknya perlu komited 100 peratus terhadap proses dan yakin dengan perjalanan yang telah saya (pemain) pilih,” katanya.
-- BERNAMA