Skip to main content

Dunia

Malaysia kekalkan kerusi Majlis ITU dengan 145 undi

Mano (lima, kanan) dan Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali (enam, kanan) bergambar bersama delegasi Malaysia pada sidang media selepas Malaysia berjaya mempertahankan kerusi dalam Majlis ITU bagi penggal 2027-2030 sempena PP-26 di DECC hari ini. - Gambar Bernama
Mano (lima, kanan) dan Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali (enam, kanan) bergambar bersama delegasi Malaysia pada sidang media selepas Malaysia berjaya mempertahankan kerusi dalam Majlis ITU bagi penggal 2027-2030 sempena PP-26 di DECC hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

DOHA: Malaysia berjaya mempertahankan kerusi Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030, selepas meraih 145 undi pada sesi pemilihan sempena Persidangan Plenipotensiari ITU 2026 (PP-26) di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran menyifatkan kemenangan itu amat bermakna, kerana membolehkan Malaysia terus menyumbang kepada pembangunan industri telekomunikasi antarabangsa.

“Kejayaan mengekalkan kerusi dengan meraih 145 undi ini, membuka ruang lebih luas untuk Malaysia menyumbang kepada perkembangan sektor telekomunikasi dan digital global.

Advertisement

“Sumbangan Malaysia juga akan dapat dilihat dan kita akan berkongsi pengalaman dengan negara-negara lain, supaya dapat belajar bersama-sama. Yang penting, kita ada suara sekarang pada peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan anggota Majlis ITU di sini hari ini.

Mano berkata sepanjang penggal empat tahun berkenaan, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada dua teras utama, iaitu aspek kesalingoperasian serta kepercayaan dalam ekosistem digital.

Advertisement

“Seperti yang digariskan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, fokus kita tertumpu kepada aspek kesalingoperasian dan membina kepercayaan dalam persekitaran digital, masa kini.

“Selain itu, Malaysia juga bersedia berkongsi kejayaan pelaksanaan inisiatif domestik seperti program Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), untuk dijadikan tanda aras oleh negara anggota ITU yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mano merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Abdul Halim Hamzah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Luar serta Kedutaan Besar Malaysia di Doha, atas dedikasi mempertahankan kerusi berkenaan.

Beliau turut berterima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan yang memberi sokongan padu terhadap kempen pencalonan negara.

Malaysia merupakan anggota ITU sejak 1958 dan terus memainkan peranan proaktif dalam memperkukuh kerjasama telekomunikasi dan keterangkuman digital global.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement